Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kini mengatakan rakyat Malaysia seawal umur 12 tahun akan didaftarkan secara automatik dalam sistem MyDigital ID, sekaligus memudahkan mereka untuk menggunakan MyDigital ID apabila diperlukan.

Untuk tujuan ini, Jabatan Pendaftaran Negara akan melakukan prapendaftaran untuk rakyat Malaysia apabila mereka mencapai umur 12 tahun. Disamping itu, pendaftaran automatik juga akan dilakukan apabila melakukan gantian MyKad – termasuk ketika MyKad hilang.
MyDigital ID merupakan langkah kerajaan dalam memperkenalkan kaedah identiti tunggal untuk pelbagai perkhidmatan kerajaan, termasuk beberapa perkhidmatan swasta. Perkhidmatan seperti LHDN dan TNB telah mula mengintegrasikan sokongan MyDigital ID ini.
Setakat ini, 1.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menggunakan MyDigital ID.