Beberapa hari lepas, Nothing telah melancarkan dua peranti kelas pertengahan baharu mereka iaitu Phone (3a) dan Phone (3a) Pro. Kedua-dua peranti ini dilancarkan terlebih dahulu berbanding Phone (3) kerana mereka menyedari peranti kelas pertengahan lebih laris berbanding peranti mercu. Hari ini, ia mula dilancarkan di Malaysia secara rasmi.

Nothing Phone (3a) dan Nothing Phone (3a) Pro adalah peranti yang sama sebenarnya. Perbezaan utama hanyalah pada konfigurasi kamera dan rekaan belakang. Nothing kembali bekerjasama dengan Qualcomm untuk menggunakan cip Snapdragon 7s Gen 3 pada siri Phone (3a). Skrin yang digunakan adalah panel OLED fleksibel bersaiz 6.77″ FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz bukan LTPO, kadar pensampelan 1000Hz dan menyokong HDR10+ tanpa DRM untuk Netflix dan Prime Video.
Untuk memori ia menggunakan 12GB RAM LPDDR5 + 8GB memori maya dan storan dalaman UFS 2.2 256GB. Konfigurasi kamera juga adalah sama iaitu 50+50+8 Megapixel tetapi sensor zum pada Phone (3a) Pro adalah jenis periskop 3x zum optikal, sementara pada Phone (3a) adalah jenis telefoto 2x zum optikal. Kemudian model pro hadir dengan kamera swafoto 50MP, sementara model biasa dengan 32MP sahaja. Pada keliling kamera, sistem lampu Glpyh masih dikekalkan.

Siri Nothing Phone (3a) juga adalah permulaan peranti AI Nothing kerana mereka menyertakan butang fizikal AI Essential Key untuk menyeru Essential Space. Ia adalah aplikasi khas untuk menguruskan tangkapan layar dengan teknologi kecerdasan buatan generatif merumuskan kandungan dan memberi cadangan seperti peringatan. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan pengecasan 50W. Tiada sokongan pengecasan nirwayar dan Qi2. Kedua-dua peranti turut dinaiktaraf kepada perlindungan IP64 berbanding IP54. Kemudian speaker stereo digunakan.

Telefon pintar baharu Nothing ini turut menjalankan Nothing OS 3.1 dengan widget baharu dan sokongan Circle to Search sedia terbina. Nothing turut menjanjikan kemas kini 3+6 tahun untuk peranti baharu mereka ini.

Harga jualan di Malaysia untuk Nothing Phone (3a) adalah RM1,699 (12+256 GB) dengan pilihan warna hitam, putih atau biru. Sementara Nothing Phone (3a) Pro adalah RM1,999 (12+256 GB) dengan pilihan warna kelabu atau hitam.

Pra-tempahan untuk Phone (3a) akan bermula pada 8 Mac dengan jualan pula pada 22 Mac. Sementara pra tempahan Phone (3a) Pro adalah sama tetapi jualan sedikit lewat iaitu 7 April.

Untuk setiap pembelian, Nothing akan memberi beg Nothing Crossbody, pelekat Nothing, kerangka pelindung, CMF Buds, jaminan tambahan 1 tahun dan jaminan skrin retak 1 tahun.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan peranti ini secara lebih awal, Nothing Phone (3a) Pro akan dijual di Crossover Sunway Pyramid pada 5 March 2025 seawal 11 pagi.