Sebelum ini, anda perlu melakukan perancangan penuh untuk kekal berhubung ketika bercuti di luar negara, termasuk membuat tempahan kad SIM dan menerimanya untuk digunakan di telefon pintar. Perkara ini mungkin menyukarkan, dan pengguna lebih mudah dengan melanggan pelan perayauan pada talian sedia ada.

Kini, sekiranya anda inginkan alternatif, pihak Touch n Go eWallet melalui aplikasi mereka menambah sebuah ciri baharu dinamakan “Travel eSIM”. Melaluinya, anda boleh melakukan pembelian eSIM, dan seterusnya turut melanggan pelan data bersama-sama dengannya.
Pengguna hanya perlu memilih negara yang ingin dituju, dan seterusnya memilih pelan data. Kemudian kod eSIM akan dihantar ke emel, membolehkan anda memasang eSIM berkenaan terus pada peranti masing-masing. Namun, seperti biasa, anda perlu memastikan telefon anda sedia ada menyokong eSIM.
Bagi anda yang menggunakan Touch n Go eWallet, anda boleh menyemak ciri Travel eSIM ini, dan melakukan perancangan sekiranya ingin ke luar negara.