Di acara Mobile World Congress 2025, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah memperkenalkan sebuah aplikasi menguji rangkaian internet yang dinamakan MCMC Nexus.

Aplikasi ini dilihat bukan sahaja dapat menguji kadar penghantaran dan penerimaan data pengguna, tetapi juga bagaimana ia berfungsi bersama-sama sejumlah besar aplikasi internet yang popular dan sering digunakan.
Aplikasi ini, yang berada dalam fasa ujian beta buat masa ini hadir dengan empat ujian rangkaian, termasuklah ujian kepantasan rangkaian, ujian pengalaman data, ujian tinjauan laluan yang membolehkan anda memuat-naik skrip sendiri untuk menguji kekuatan isyarat rangkaian dan tinjauan dalam bangunan untuk menguji prestasi rangkaian internet dalam sesebuah bangunan.



Lebih menarik lagi, aplikasi ini akan menunjukkan apabila sambungan peranti anda menukar pencawang dan apabila sambungan anda bertukar dari 5G ke 4G dan sebaliknya. Aplikasi MCMC Nexus ini boleh digunakan bukan sahaja oleh petugas-petugas mereka sendiri untuk menguji kualiti rangkaian tempatan, tetapi juga oleh orang ramai untuk melihat sama ada rangkaian mereka beroperasi seperti yang sepatutnya.
Kami diberitahu bahawa keputusan-keputusan ujian ini akan dihantar terus ke pihak MCMC dan juga syarikat telekomunikasi secara terus untuk membolehkan syarikat-syarikat ini menilai dan memperbaiki mutu rangkaian mereka pada kadar lebih cepat.

Anda boleh memuat-turun aplikasi MCMC Nexus (Beta) ini di Google Play Store sekarang. Versi iOS sedang dibangunkan, dan versi penuh aplikasi ini akan diperkenalkan menjelang pertengahan tahun ini.