7 Wanita Yang Juga Merupakan Tokoh Sains dan Teknologi Dunia
Amy Maizuraa
Hubungan antara wanita dan teknologi sememangnya satu topik yang menarik. Walaupun bidang teknologi sering dianggap didominasi oleh kaum lelaki, realitinya ramai wanita hebat telah memainkan peranan besar dalam membentuk dunia teknologi yang kita kenali hari ini.
Mereka bukan sahaja memperkenalkan pelbagai inovasi penting, tetapi juga membawa perspektif baharu yang mendorong kreativiti dalam menyelesaikan masalah. Sempena Hari Wanita Antarabangsa, berikut adalah beberapa tokoh wanita yang memberikan sumbangan besar dalam dunia teknologi:
Marie Curie – Individu Pertama Memenangi Dua Hadiah Nobel

Marie Curie ialah individu pertama yang berjaya memenangi dua Hadiah Noble. Pertama kali pada tahun 1903 dalam bidang fizik untuk penemuan bahan radioaktif dan kemudiannya pada tahun 1911 dalam bidang kimia untuk penemuan polonium dan radium menggunakan teknik pemisahan isotop yang dicipta sendiri oleh beliau. Dalam sejarah Hadiah Nobel, hanya tiga lagi individu pernah memenanginya sebanyak dua kali selain Curie. Beliau turut mempelopori teknologi X-Ray mudah alih yang digunakan di medan Perang Dunia Pertama.
Kemenangan Curie sebanyak dua kali ini adalah menakjubkan kerana wanita tidak dibenarkan menjadi ahli Akademi Sains Perancis. Oleh sebab itu Curie tidak dibenarkan membentangkan sendiri penemuan dan sebaliknya perlu melantik seorang wakil lelaki. Walaupun memenangi Nobel sebanyak dua kali, Curie tidak pernah diterima menjadi ahli Akademi Sains Perancis sehingga ke akhir hayat beliau pada tahun 1934. Keahlian untuk wanita hanya dibuka oleh Akademi Sains Perancis pada tahun 1979.
Hedy Lamarr : Perintis Teknologi Wi-Fi & Bluetooth

Hedy Lamarr mungkin dikenali ramai sebagai pelakon ikonik Hollywood pada tahun 1930 hingga 1940-an, tetapi turut berjasa dalam bidang teknologi. Semasa Perang Dunia Kedua, Lamarr bekerjasama dengan George Antheil untuk mencipta teknologi “Frequency Hopping.”
Teknologi ini direka untuk melindungi komunikasi radio torpedo daripada gangguan isyarat musuh dengan memanfaatkan penyebaran transmisi frekuensi dalam corak yang kelihatan rawak tetapi sebenarnya diselaraskan dengan sistematik.
Penemuan ini menjadi asas kepada Wi-Fi, Bluetooth, dan GPS. Walaupun patennya diperoleh pada tahun 1942, penggunaannya hanya menjadi meluas beberapa dekad kemudian. Hari ini, inovasinya menjadi landasan komunikasi nirwayar moden seperti dalam telefon pintar dan komputer.
Ada Lovelace : Pengaturcara Komputer Pertama Dunia

Ada Lovelace dikenali sebagai wanita pertama yang menjadi perintis dalam bidang pengaturcaraan komputer. Sumbangannya bukan sahaja menjadi asas kepada pengkomputeran moden, tetapi juga membuka laluan kepada pelbagai inovasi teknologi.
Beliau memainkan peranan penting dengan menulis algoritma pertama untuk Mesin Analitik ciptaan Charles Babbage. Lebih menarik, Ada bukan sahaja menulis algoritma, tetapi juga membayangkan bagaimana mesin tersebut boleh digunakan untuk pelbagai tugas selain matematik, seperti menghasilkan muzik dan seni.
Algoritma yang dihasilkannya dianggap sebagai langkah awal dalam sejarah pengkomputeran moden. Pemikiran kreatif beliau pada abad ke-19 mendahului zamannya dan menjadi asas penting kepada kemajuan dunia teknologi hari ini.
Grace Hopper : Pencipta Compiler Pertama dan Pepihat Komputer Pertama

Jika Ada Lovelace dikenali sebagai perintis pengkomputeran, Grace Hopper pula memainkan peranan besar dalam memudahkan penggunaannya bagi golongan bukan pakar. Grace Hopper, seorang saintis komputer dan laksamana Tentera Laut Amerika Syarikat terkenal kerana mencipta compiler pertama—alat yang menterjemahkan kod pengaturcaraan ke bahasa mesin.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan bahasa pengaturcaraan COBOL (Common Business-Oriented Language), yang direka agar lebih mudah difahami dan sesuai digunakan dalam aplikasi perniagaan. COBOL telah menjadi asas bagi banyak sistem perniagaan global dan kekal relevan hingga kini.

Selain itu, Hopper mencipta istilah “bug” dalam kod perisian selepas menemui rama-rama di antara kertas berlubang tebuk yang digunakan komputer generasi awal untuk menulis program. Kisah ini berlaku semasa pasukannya menggunakan komputer Mark I pada tahun 1947. Penemuan tersebut menyebabkan mereka menggunakan istilah “debugging” untuk merujuk kepada proses mengenal pasti dan membetulkan kesalahan atau masalah dalam kod pengaturcaraan. Kerana sumbangan beliau, NVIDIA menggunakan nama beliau pada CPU dan GPU yang digunakan untuk memacu era kecerdasan buatan (AI).
Katherine Johnson : Komputer Manusia Yang Menghantar Angkasawan Ke Bulan

Sebelum wujudnya perkakasan, komputer ialah nama yang diberikan kepada individu yang melakukan proses kira-kira kompleks secara manual menggunakan kecerdasan minda, mesin kira-kira analog, dan buku log. Katherine Johnson ialah antara “komputer manusia” di NASA dengan kemampuan beliau melakukan perkiraan matematik dengan pantas membolehkan misi Mercury, Apollo dan juga Space Shuttle dijalankan dengan jayanya.
Selain trajektori pelancaran roket, Johnson juga melakukan kira-kira untuk kembali ke bumi, situasi kecemasan dan tingkap selamat untuk roket dilancarkan. Sebelum bersara daripada NASA, Johnson turut terlibat dalam perancangan untuk melakukan misi ke Planet Marikh. Bagi menghargai sumbangan beliau, Pusat Penyelidikan Pengiraan NASA kini menggunakan nama beliau.
Carol Shaw : Perintis Dunia Permainan Video

Carol Shaw, seorang tokoh penting dalam sejarah permainan video, dikenali sebagai wanita pertama yang diiktiraf sebagai pereka permainan video. Beliau memulakan kerjaya sebagai pengaturcaraan (coding) di Atari pada akhir 1970-an, menghasilkan permainan seperti Polo, 3-D Tic-Tac-Toe, Video Checkers, dan Super Breakout. Sumbangan beliau bukan sahaja menunjukkan kepakaran teknikalnya tetapi juga berjaya memecahkan stereotaip dalam industri yang pada waktu itu didominasi oleh lelaki.
Emmanuelle Charpentier & Jennifer Doudna : Pencipta “Gunting DNA” CRISPR

Emmanuelle Charpentier dan Jennifer Doudna ialah dua wanita hebat yang memenangi Hadiah Nobel Kimia pada tahun 2020. Mereka mencipta teknologi yang dipanggil CRISPR-Cas9, iaitu “gunting genetik” untuk memotong dan mengubah DNA. Teknologi ini membuka peluang besar dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan, pertanian, dan penyelidikan genetik.
CRISPR-Cas9 dilihat berpotensi menyembuhkan pelbagai penyakit genetik yang sebelum ini dianggap tiada ubat seperti Anemia sel sabit dan Fibrosis sistik (cystic fibrosis). Selain itu, ia juga telah digunakan untuk membaik pulih tanaman bagi menjadikannya lebih tahan terhadap penyakit, serangga, dan perubahan iklim. Inovasi ini memberi harapan untuk menangani cabaran global seperti kekurangan makanan dan kesihatan awam.
Charpentier, seorang ahli mikrobiologi dari Perancis, menemui cara bagaimana mekanisme ini berfungsi dalam bakteria. Kemudian, beliau bekerjasama dengan Doudna iaitu seorang ahli biokimia dari Amerika Syarikat bagi menjadikannya alat yang berguna untuk saintis di seluruh dunia.
Wanita-wanita ini adalah bukti nyata bahawa sumbangan mereka telah membawa perubahan besar dalam dunia teknologi. Keberanian, visi, dan inovasi mereka bukan sahaja mencetuskan revolusi dalam bidang masing-masing tetapi juga membuka jalan kepada banyak lagi pencapaian hebat dalam masa depan teknologi. Semoga kisah mereka terus menjadi inspirasi untuk menjadikan teknologi alat yang lebih baik bagi kemajuan dan manfaat semua. Selamat menyambut Hari Wanita Antarabangsa!