Foxconn juga kini memasuki arena menghasilkan model bahasa raya (LLM) yang akan menjadi asas kepada kecerdasan buatan (AI) tersendiri. Hari ini mereka mengumumkan LLM FoxBrain yang dilatih selama empat minggu menggunakan 120 GPU NVIDIA H100. LLM ini dibangunkan bagi menambah baik pengurusan kilang dan juga rantaian bekalan mereka.

Sebagai antara pengeluar peranti terbesar dunia, Foxconn bertanggungjawab dalam mengilangkan beberapa produk Apple seperti iPhone dan MacBook. Menurut mereka lagi, FoxBrain adalah berasaskan Llama 3.1 dengan 70 bilion parameter. Ia adalah LLM pertama yang dibangunkan di Taiwan yang boleh melalukan penaakulan serta dioptimasi untuk memahami bahasa mandarin tradisional serta mandarin Taiwan.
Ia dibangunkan untuk berfungsi dengan beberapa aplikasi yang kini digunakan oleh Foxconn. Antara kemampuannya ialah melakukan analisa data, kira-kira matematik, menjana kod, penaakulan, memahami dokumen dan membantu kakitangan untuk melalukan keputusan. Dari segi prestasi, ia masih di belakang DeepSeek tetapi menurut Foxconn ia masih setanding dengan beberapa model AI antarabangsa yang lain.