Pada awalnya saya menyesal membeli Nothing Phone (2a), kerana Phone (2a) Plus dilancarkan hanya beberapa selepas itu. Terbaru, siri Nothing Phone (3a) pula telah tiba dan kali ini saya setia dengan model asas. Ini mungkin adalah peranti kelas pertengahan terbaik pernah saya gunakan, tetapi adakah ianya terbaik untuk anda?

SPESIFIKASI DAN REKAAN
Skrin | 6.77″ Flexible AMOLED FHD+, 120Hz HDR10+ tanpa DRM, 3000 nits, Panda Glass |
CPU | Snapdragon 7s Gen 3 (4nm) 1×2.5 GHz Cortex-A720 3×2.4 GHz Cortex-A720 4×1.8 GHz Cortex-A520 |
GPU | Qualcomm Adreno 810 |
Memori | 12GB RAM LPDDR4X + 8GB RAM Maya |
Storan | 256GB UFS 2.2 |
Kamera Belakang | 50MP (Lebar), f/1.88, OIS + EIS 50MP (Telefoto), f/2.0, zum 2x/4x/30x, OIS 8MP (Ultra Lebar), f/2.2 TrueLens Engine 3.0 |
Kamera Hadapan | 32 MP, f/2.2 |
Audio | Speaker Stereo |
Biometri | Cap Jari Dalam Skrin (Optikal) |
Sistem Operasi | Nothing OS 3.1 Android 15 Kemas Kini 3+6 Tahun |
Sambungan | WiFi 6 Bluetooth 5.4 |
Perlindungan | IP64 |
Bateri | 5,000mAh 50W (Berwayar) |
Harga | Hitam, Putih dan Biru RM1,699 (12/256 GB) |
Nothing dilihat masih mementingkan pendapat pengguna setia mereka melalui Nothing Community. Kekurangan pada Phone (2a) kini dibaiki pada Phone (3a) seperti bahan binaan peranti yang lebih tahan lasak. Kini pada Nothing Phone (3a), panel belakang adalah kaca yang pasti tidak ada kerisauan mengenai masalah kekuningan dan rangka peranti pula adalah aluminium yang lebih kukuh. Saya turut amat bersyukur dengan penawaran warna biru, kerana ia benar-benar menjadikan peranti ini kelihatan lebih unik dan istimewa berbanding peranti pesaing.

Peranti ini masih meminjam banyak elemen rekaan pada Nothing Phone (2a) Kedudukan butang semua masih sama tetapi kini dengan butang tambahan Essential Key. Lihat sahaja sistem Glyph yang masih terhad kepada 3 jalur LED. Peranti turut kini menyokong perlindungan IP64 yang lebih baik berbanding IP54. Bonggol kamera Phone (3a) dilihat masih lebih kurang sama cuma kini sedikit lebih besar. Sekilas pandang, ia akan kelihatan seakan bonggol kamera Google Pixel 9.

Phone (3a) juga direka dengan bentuk yang agak rata, bersesuaian dengan trend sekarang. Peranti ini di tangan memang rasa premium dan tidak rasa seakan mengendalikan sebuah peranti kelas pertengahan. Sehingga hari ini, apabila saya bersama kawan dan keluarga – Phone (3a) saya masih boleh menjadi topik memulakan perbualan.
SKRIN
Kali ini, skrin peranti adalah lebih besar iaitu bersaiz 6.77-inci daripada panel OLED jenis fleksibel dengan sokongan kecerahan mencapai 3000 nits, menyokong kandungan HDR10+ tetapi tiada DRM untuk Netflix dan Prime Video. Ketiadaan DRM ini tidak menjadi masalah untuk saya kerana pada telefon ini saya hanya menikmati video YouTube yang tiada masalah memaparkan kandungan HDR.

Nothing Phone (3a) tidak menggunakan teknologi LTPO tetapi mempunyai kadar segar semula 120Hz adaptif yang berfungsi dengan baik. Walaupun resolusi adalah FHD+, hasil gambar dan video memang kelihatan tajam dan memuaskan. Kemampuan sentuhan juga lancar dan tidak mendatangkan sebarang masalah sepanjang penggunaan.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Kali ini Nothing kembali menggunakan cip oleh Qualcomm iaitu Snapdragon 7s Gen 3. Nothing tidak mendedahkan jika mereka ada mengubahsuai rekaan atau spesifikasi cip, ini bermakna mereka menggunakan konfigurasi stok yang tersedia. Cip peranti kelas pertengahan ini mempunyai kemampuan seakan cip Snapdragon 8 Gen 1 tetapi dengan penggunaan kuasa yang lebih efisien serta kemampuan pemprosesan AI yang lebih baik. Dalam ujian penanda aras, skor peranti ini memaparkan nilai yang dijangka pada AnTuTu 3D, 3DMark dan Geekbench.

AnTuTu 3D
- Nothing Phone (3a) Pro – 803,992
- Poco X7 Pro – 1,590 533
- Oppo Reno13 Pro – 1,150 560
- OnePlus Nord 4 – 1,049 461
- vivo V40 Pro – 1,524 100
Geekbench 6
- Nothing Phone (3a) Pro – 1,154/3,270
- Poco X7 Pro – 1575/6121
- Oppo Reno13 Pro – 1319/4143
- OnePlus Nord 4 – 1384/3932
- vivo V40 Pro – 1798/5177
3DMark Wildlife Extreme
- Nothing Phone (3a) Pro – 1,043
- Poco X7 Pro – 3839
- Oppo Reno13 Pro – 2880
- OnePlus Nord 4 – 2713
- vivo V40 Pro – 3824
Satu faktor yang menyebabkan prestasi peranti ini kurang mengancam adalah kerana penggunaan storan dalaman UFS 2.2 dan memori LPDDR4X. Kebanyakan peranti pesaing dalam kelas ini dengan harga jualan sebegini sudah menggunakan padanan LPDDR5 dan UFS 3.1. Pengorbanan Nothing untuk mengurangkan kos agak aneh kerana mereka mahukan pengguna mendapatkan pengalaman terbaik tetapi enggan memberi ciri yang majoriti pesaing berikan pada peranti mereka.

Kedua-dua penggunaan ringan dan berat memberi pengalaman seakan menggunakan Pixel 9 Pro XL. Ini jelas membuktikan cip Tensor G4 pada peranti mercu Google hanya mempunyai kemampuan setaraf peranti kelas pertengahan yang harga jualannya 3x lebih murah. Pengalaman bermain permainan video mudah alih pada peranti ini juga sama. Ia lancar, tetapi akan ada masalah lengah masa yang rawak dan peranti menjadi memanas. Walaupun begitu, ia bukan pada tahap yang teruk dan memang akan dijangka untuk peranti dalam kelas ini.
PENGALAMAN PENGGUNAAN – NOTHING OS 3.1
Selepas mengemaskini Nothing OS 3.0 pada Phone (2a) saya, Nothing Phone (3a) dengan Nothing OS 3.1 seakan tidak membawa banyak perubahan. Misalnya, Nothing membawakan beberapa widget baharu yang menarik, menambah baik rekaan antaramuka, menyokong Circle to Search, mempunyai kamera lebih bagus dengan aplikasi dikemaskini, menawarkan pengalaman Android stok tetapi masih mempunyai kebebasan dan memberi pengalaman penggunaan sangat lancar seakan menggunakan sebuah peranti mercu.

Jika anda selesa dengan prestasi Oxygen OS pada peranti mercu OnePlus atau peranti kelas pertengahan Nord, anda juga akan selesa bersama Nothing OS. Ia adalah alternatif kepada Pixel yang ramai orang kata bosan dan kosong, kerana pada Nothing OS pengguna mempunyai kebebasan untuk memperibadikan peranti ini menjadikan lebih unik mengikut personaliti.

Nothing turut melanjutkan sokongan kemas kini mereka. Kalau siri Phone (2a) terhad kepada 3+4 tahun, siri Phone (3a) menerima sokongan 3+6 tahun. Peranti akan dikemaskini sehingga tahun 2031 dan akan kekal menerima kemas kini sistem operasi ke sekurang-kurangnya Android 18. Nothing OS 3.1 ini adalah titik permulaan Nothing untuk mempunyai sistem operasi tersendiri yang mengintegrasikan teknologi AI generatif.

Bercakap mengenai AI, Nothing tidak mengikut strategi pesaing seperti menawarkan ciri pemadam ajaib, aplikasi menjana teks atau menjana gambar – sebaliknya mereka menyertakan butang fizikal AI Essential Key untuk menyeru Essential Space.

Dalam penggunaan selama satu minggu, Essential Space ini adalah memori kedua atau satu hab untuk menyimpan segala tangkapan layar yang diambil. Cuma, setiap tangkapan layar itu akan mempunyai nota yang saya boleh tambah atau rakaman suara sebagai peringatan untuk diri sendiri. Magis AI pada ciri ini berlaku dengan ia merumuskan kandungan tangkapan layar, nota dan suara yang dirakam dengan turut memahami konteks. Secara tidak langsung, pengguna akan disajikan rumusan, senarai semak atau peringatan. Essential Space adalah seakan Pixel Screenshot yang lebih menarik.
KAMERA – TELEFOTO UBAH SEGALANYA?
Dengan menggunakan konfigurasi 3 kamera, Nothing dilihat telah melupakan identiti asal mereka. Dulu mereka hanya menyertakan dua kamera kerana percaya, dua adalah berguna dan tiga adalah gimik tetapi kini mereka sedari yang tiga sebenarnya berguna. Yang gimik itu adalah sensor mengarut seperti sensor warna, sensor mono, sensor potret dan sebagainya. Kamera 50+50+8 Megapixel di belakang dan 32 Megapixel di hadapan saya rasakan adalah penawaran yang cukup menarik yang melengkapkan pengalaman peranti mercu pada peranti kelas pertengahan.




Nothing kali ini memfokuskan kepada kemampuan HDR mereka, kemampuan fokus yang baik, sains warna baharu melalui TrueLens Engine 3.0, kemampuan mod malam dan juga kemampuan zum. Hasil gambar HDR kini lebih konsisten dengan fokus yang pantas, tetapi pasca-proses yang dilihat ada sedikit sela masa. Namun, hasil warna dan bagaimana algoritma Nothing memelihara butiran cukup menarik. Kebanyakan hasil gambar akan kelihatan seakan diambil dengan peranti mercu.




Kemampuan zum paling saya hargai untuk peranti yang dijual pada harga mampu milik. Nothing Phone (3a) menggunakan sensor telefoto dengan sokongan 2x zum optikal, 4x zum nirhilang dan 30x Ultra Zoom. Jika diteliti, algoritma Nothing terlampau agresif dalam memproses hasil akhir sehingga butiran yang patutnya dipelihara tidak menjadi. Namun, untuk sebuah peranti yang berharga RM1,699 dengan kemampuan zum seperti ini, ia sudah memadai dan mencukupi.

Satu perkara lain yang saya perlu sampaikan mengenai kamera adalah sokongan mencipta dan kongsi Preset. Pengguna kini boleh menetapkan satu preset mod kamera yang unik seperti dengan penuras, mod potret dan sebagainya. Dengan preset ini, gambar diambil akan sentiasa berada dalam mod yang diingini pengguna. Pada masa yang sama, ia turut boleh dikongsi untuk pengguna peranti Nothing OS 3.1 lain menggunakannya pada peranti masing-masing.
TELEFONI, WIFI, GPS
Dalam tempoh satu minggu, Nothing Phone (3a) memberikan prestasi panggilan telefon yang baik. Suara semuanya jelas dan tiada masalah gangguan statik. Sambungan data mudah alih dan WiFi juga pantas serta lancar. Untuk penggunaan GPS, peranti ini beroperasi dengan baik dengan berjaya mengunci lokasi dengan jitu dan memberi arahan selok-belok tanpa membuatkan saya sesat.

BATERI DAN PENGECASAN
Saya sedari sejak kebelakangan ini, ramai orang tidak menilai ketahanan bateri peranti dengan SOT. Ini mungkin kerana sesetengah telefon boleh digunakan dalam keadaan skrin tertutup. Apa pun, pada Nothing Phone (3a) ini, bateri 5000mAh dengan pemgecasan pantas 50W telah digunakan. Nothing OS turut mempunyai ciri pemantauan kesihatan bateri untuk memastikan kadar pengecasan yang baik dan melindungi kesihatan bateri.

Selama satu minggu penggunaan, Phone (3a) tiada masalah untuk bertahan sepanjang hari untuk penggunaan ringan. Malah, kadangkala sehingga hari kedua. Sementara dengan penggunaan berat pula ia boleh bertahan sekitar 8 jam SOT. Untuk pengecasan, kuasa 50W boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa sekitar 60 minit yang saya sudah hargai. Saya sedikit kecewa Nothing tidak menyertakan sokongan pengecasan nirwayar, tetapi saya pun jarang menggunakannya jadi ketiadaan ciri ini boleh dimaafkan.
APA DALAM KOTAK?
- 1x Phone (3a)
- 1x Pelindung skrin (sedia terpasang)
- 1x Kabel USB-C ke USB-C bukan lutsinar
- 1x Pin SIM lutsinar
- 1x Buku panduan dan keselamatan

PESAING
Nothing Phone (3a) | Poco X7 Pro | Samsung Galaxy A56 |
6.77″ Flexible AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+ 3000 nits, Panda Glass | 6.67″ CrytalRes AMOLED 1.5K+, 120Hz, Dolby Vision 3200 nits, Gorilla Glass 7i | 6.7″ Super AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+, 1900 nits, Gorilla Glass Victus+ |
Snapdragon 7s Gen 3 (4nm) 1×2.5 GHz Cortex-A720 3×2.4 GHz Cortex-A720 4×1.8 GHz Cortex-A520 | Dimensity 8400 Ultra (4nm) 1x 3.25 GHz Cortex-A725 3x 3.0 GHz Cortex-A725 4x 2.1 GHz Cortex-A725 | Exynos 1580 (4nm) 1x 2.9 GHz 3x 2.6 GHz 4x 1.9 GHz |
Qualcomm Adreno 810 | Mali-G720 MC7 | Xclipse 540 |
12GB RAM LPDDR4X + 8GB RAM Maya | 12GB RAM LPDDR5X | 8GB LPDDR5 |
256GB UFS 2.2 | 512GB UFS 4.0 | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP (Lebar), f/1.88, OIS + EIS 50MP (Telefoto), f/2.0, zum 2x/4x/6x, OIS 8MP (Ultra Lebar), f/2.2 TrueLens Engine 3.0 | Kamera Utama 50MP (Lebar), f/1.5, OIS 8MP (Ultra Lebar), f/2.2 2MP (Makro), f/2.4 POCO Imaging Engine + AI | Kamera Utama 50MP (Lebar), f/1.8, OIS 50MP (Ultra Lebar), f/2.4 12MP (Makro), f/2.2 |
Kamera Hadapan 32 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 20 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 12MP f/2.2 |
IP64 | IP68 | IP67 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5,000 mAh Berwayar 50W | 6,000 mAh Berwayar 90W | 5,000 mAh Berwayar 45W |
Hitam, putih atau biru RM1,699 (12/256 GB) | Hitam, perak atau hijau RM979 (8/256 GB) RM1,179 (12/512 GB) | RM2,199* (8/128GB) RM2,285* (12/256GB) * = harga India |
KESIMPULAN
Sejak bekerja sebagai pelatih di Amanz, saya mula banyak mengambil kamera dan rasakan Nothing Phone (3a) adalah peranti yang sempurna untuk saya. Namun, jika bukan kerana kerja saya masih rasakan yang Nothing Phone (2a) masih lagi peranti yang berkemampuan, stabil, lancar dan memberikan pengalaman penggunaan lebih kurang sama. Jelas di sini yang Nothing bijak dalam perisian mereka kerana boleh memastikan peranti baharu dan peranti lama mempunyai prestasi yang konsisten.

Nothing Phone (3a) dan Phone (3a) Pro adalah dua peranti yang sama sahaja sebenarnya. Beza paling ketara adalah pada kamera dan rekaan. Disebabkan itu saya akan sarankan orang ramai hanya memilih Nothing Phone (3a) jika ingin dapatkan peranti dengan kamera yang baik, perisian Nothing OS yang tidak mengecewakan, tidak ada iklan, tiada aplikasi gendut dan paling penting menyokong kemas kini 3+6 tahun.
Harga RM1,699 adalah kompetitif dan peranti ini layak dipanggil sebagai penanda aras untuk peranti kelas pertengahan (pastikan jenis memori dan storan dilupakan). Cuma, jika anda ada lebihan RM300 – model Pro pun baik jika anda menggemari rekaan bonggol kamera bulat yang besar.
PRO
- Skrin yang baik dan memuaskan.
- Nothing OS 3.1 yang masih menarik dan memuaskan.
- Akhirnya, kamera membolehkan pengguna zum jauh.
- Rekaan yang nampak sama tetapi segar dan unik.
- Kalis air serta debu IP64.
- Ada butang fizikal tambahan yang berguna.
- Bahan binaan lebih tahan lasak.
- Harga jualan yang tidak koyak kocek.
KONTRA
- Skrin masih tiada sokongan HDR pada aplikasi penstriman.
- Tiada sokongan pengecasan nirwayar.
- Pesaing sudah menawarkan perlindungan IP68/IP69.
- Penggunaan memori dan storan LPDDR4X dan UFS 2.2 yang perlahan.
- Kamera sudut ultra lebar yang turun taraf.
- Tiada perubahan drastik pada Glyph.

*Diulas oleh Amzari, pelatih Amanz – tetapi artikel ditulis oleh Fahim Zahar.