Khazanah Menerajui Pelaburan Series E Pada Syarikat Sumber Pengaturcara AI Turing Pada Nilai $111 Juta
Nazrin
Syarikat-syarikat teknologi seperti OpenAI, Google, Meta, Anthropic dan sebagainya adalah syarikat-syarikat yang dikenali untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan mereka sendiri. Tetapi tahukah anda bahawa mereka juga masih lagi mendapatkan bantuan pihak ketiga, khususnya dari segi pembelajaran mesin, pembangunan asas kod, evaluasi model bahasaraya, dan semakan berkenaan kejituan data?
Turing ialah sebuah syarikat agregat jurutera pembangun kecerdasan buatan yang kini mempunyai tenaga kuasa 4 juta jurutera pembangun teknologi AI di seluruh dunia yang membantu syarikat-syarikat teknologi AI ini untuk membangunkan, mengajar dan menguji sistem-sistem AI mereka.
Baru-baru ini, Turing dilaporkan telah melepasi sesi pelaburan Series E, dimana mereka telah menerima pelaburan sebanyak $111 juta (~RM492 juta), sekaligus melonjakkan nilai syarikat tersebut ke $2 bilion (~RM9 bilion) setakat ini.

Menariknya, sesi pelaburan terbaru ini diterajui oleh dana kekayaan negara Malaysia sendiri, iaitu Khazanah, bersama-sama dengan syarikat-syarikat pelaburan lain seperti WestBridge Capital, Sozo Ventures, UpHonest Capital, AltaIR Capital, Amino Capital, Plug and Play, MVPTVentures, Fortius Ventures, Gaingels dan Mastodon Capital Management.
Turing bermula sebagai sebuah syarikat sumber manusia, yang memfokuskan kepada pengenalan jurutera dan pengaturcara jarak jauh yang dimulakan sekitar waktu pandemik COVID-19. Ia kemudiannya memfokuskan kepada jurutera dan pengaturcara AI apabila permintaan untuk profesional dalam sektor pembangunan AI semakin tinggi.
Sehingga kini, Turing telah menerima sebanyak $225 juta (~RM9.5 bilion) jumlah pelaburan dalam pusingan-pusingan pelaburan setakat ini, dan CEO syarikat tersebut, Jonathan Siddarth mengatakan bahawa mereka akan menggunakan wang pelaburan ini untuk melebarkan sayap mereka ke lebih banyak sektor teknologi dan juga pelanggan-pelanggan lain.
Buat masa ini, fokus Turing dilihat adalah dalam membekalkan tenaga kerja pengaturcaraan melalui program Turing AGI Advancement untuk membolehkan banyak syarikat-syarikat membangunkan sistem AGI mereka sendiri.
[sumber]TechCrunch[sumber]