ASUS telah melancarkan monitor siri VU Air Ionizer yang dilengkapi dengan teknologi Nano-Ion. Ia merupakan sebuah monitor yang juga boleh berfungsi sebagai penapis udara. Teknologi ini mampu menyingkirkan sehingga 90% habuk kemudian meningkatkan kualiti udara sekeliling. ASUS turut menyertakan teknologi Eye Care Plus dalam monitor yang disahkan oleh TÜV Rheinland. Teknologi ini pula boleh mengurangkan cahaya biru dan kerlipan menjadikan monitor ini lebih selesa untuk mata.

Siri ini terdiri daripada tiga model utama, iaitu VU249HFI-W, VU279HFI-W dan VU34WCIP-W dengan saiz berbeza diantara 24-inci, 27-inci dan 34-inci. Setiap satunya juga direka dengan reka bentuk praktikal termasuklah melengkung untuk kegunaan dalam ruang kerja yang kecil. Monitor ini juga mempunyai teknologi Smooth Motion dengan kadar penyegaran sehingga 100Hz, resolusi sehingga 4K, dan masa tindak balas 1ms untuk visual yang lebih lancar.

Menariknya lagi apabila pembungkus monitor ini boleh digunakan semula. Ia boleh direka bentuk untuk fungsi tambahan dan boleh digunakan semula sebagai barangan berguna seperti kotak simpanan atau rak sementara.