Kebanyakan peranti Android sekarang telah sedia menyokong mengambil gambar dalam format DNG atau imej RAW. Ia adalah format gambar mentah yang mempunyai butiran tetapi tidak diproses. Saiz gambar ini biasanya besar dan memakan ruangan storan. Akan datang, Google Photos tidak lagi akan menyimpan fail ini secara automatik di awanan.
Dalam kemas kini akan datang, Google Photos akan membaiki masalah ia mengendalikan fail-fail imej RAW. Pertama adalah memastikan imej tidak akan disandarkan secara automatik di awanan. Ini adalah bagi menjimatkan ruangan storan pengguna. Selain turut menjimatkan masa keseluruhan melakukan sandaran pelbagai imej.

Kedua adalah Google Photos kelak akan memastikan, setiap imej DNG disimpan dalam folder tersendiri dan ia dapat mengenalpasti imej mana yang telah diproses dan belum. Sekarang, imej RAW dan yang telah diproses tidak mempunyai label yang konsisten menyebabkan kekeliruan.
Perubahan Google Photos ini dilihat akan berlaku kepada pengguna Google Pixel terlebih dahulu. Ciri baharu ini dilihat mengesan imej RAW yang diambil melalui aplikasi Pixel Camera. Tidak pasti jika Google akan mengembangkan ciri ini kepada peranti lain juga.