Carian
Huawei Dilaporkan Menerima Cip AI Ascend 910 Daripada TSMC Melalui Syarikat Tersedia
March 12, 2025 Nazrin

Salah satu misteri dalam dunia cip semikonduktor kebelakangan ini ialah bagaimana Huawei, syarikat teknologi terbesar di China telah berjaya untuk membangunkan cip-cip pemprosesan terbaru mereka sendiri, khususnya cip HiSilicon Ascend 910C terbaru mereka walaupun dengan sekatan ekonomi dan teknologi yang dikenakan keatas mereka.

Secara teknikalnya, cip pemprosesan tersebut dipasang oleh SMIC, iaitu syarikat pengeluar cip semikonduktor China sendiri. Tetapi model sebelumnya, iaitu HiSilicon Ascend 910B dibangunkan oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), yang telah dilarang untuk menjual cip-cip tersebut secara terus kepada Huawei.

Pihak TSMC, bersama-sama dengan TechInsights telah menemui bahawa cip-cip pemprosesan AI HiSilicon 910B tersebut telah dihantar ke Huawei melalui syarikat-syarikat tersedia, ataupun syarikat proksi.

Pada tahun lepas, ia dianggarkan bahawa Huawei telah menerima sebanyak kira-kira 2 juta cip pemprosesan tersebut, dimana cip logik didalam cip pemprosesan tersebut telah digunakan untuk membangunkan kira-kira 1 juta cip pemprosesan HiSilicon Ascend 910C.

Apa yang diketahui sekarang mengenai cip pemprosesan Huawei Ascend 910C terbaru ini ialah walaupun ia dipakej dan dikilang oleh SMIC, ia secara ringkasnya menggunakan dua cip Huawei Ascend 910B untuk dijadikan satu cip tersebut, dan pada asalnya dikilang dengan proses 7nm TSMC sebelum penghasilannya untuk Huawei diharamkan.

Pada masa ini, Huawei dilihat mempunyai permintaan untuk berjuta-juta cip pemprosesan Ascend 910B kerana kadar pengeluaran (yield rate) cip pemprosesan cip Ascend 910C yang sangat rendah pada 40 peratus sahaja. Ini bermakna bahawa untuk 2 juta cip Ascend 910B yang boleh menghasilkan satu juta cip Ascend 910C, secara puratanya hanya 400 ribu cip pemprosesan tersebut yang dapat dihasilkan.

Angka cip pemprosesan ini dilihat sangat sedikit apabila ia dilihat bahawa syarikat-syarikat seperti OpenAI, Anthropic, Google dan sebagainya rata-rata memerlukan beratus-ribu, dan berjuta cip pemprosesann AI untuk membangunkan teknologi AI mereka sendiri.

Malah, DeepSeek, syarikat AI paling popular di China sekarang mengatakan bahawa cip HiSilicon Ascend 910C hadir dengan 60 peratus prestasi sebuah cip AI NVIDIA H100, dan tidak mencukupi untuk menguasakan proses pembelajaran mesin syarikat tersebut, tetapi cukup baik untuk menggerakkan proses inferens yang diperlukan oleh pengguna.

Buat masa ini, ia nampaknya TSMC telahpun mengenalpasti syarikat-syarikat tersedia Huawei ini, dan tidak lagi akan menghantar cip-cip Ascend 910B kepada mereka supaya mereka tidak lagi melanggar sekatan ekonomi dan teknologi yang dikenakan keatas China dan Huawei.

Komen