Seorang pembangun perisian di Amerika Syarikat berhadapan penjara sehingga 10 tahun selepas didapati bersalah mengaktifkan kod hasad yang menyebabkan sistem komputer di bekas tempat kerja beliau bermasalah sejurus selepas dipecat.
Davis Lu dipecat pada tahun 2019 oleh Eaton Corp yang berpangkalan di Ohio Amerika Syarikat. Sejurus selepas dipecat, sistem komputer Eaton Corp gagal beroperasi, fail pekerja terpadam secara mengejut, sistem enggan membenarkan log masuk dan program yang melakukan tugas berulang tanpa henti tiba-tiba muncul.

Apabila kod perisian syarikat diperiksa, terdapat baris kod yang memberikan arahan jika Davis Lu dipecat, pelbagai isu sistem yang dorman akan diaktifkan secara automatik. Dalam komputer riba yang dipulangkan pula, terdapat sejarah carian web oleh beliau yang mencari cara untuk menyorokkan proses hasad, dan memadam fail daripada sistem
Kesemua ini dilakukan sebagai tindakan balas dendam bagi memusnahkan reputasi Eaton Corp di mata pelanggan. Walaupun sudah didapati bersalah di mahkamah, Davis Lu akan melakukan rayuan dan masih menafikan kesalahan dilakukan.
Kes Davis Lu adalah mirip kes melibatkan Kandula Nagaraju di Singapura yang memadam pelayar komputer bekas majikan selepas dipecat. Tindakan beliau menyebabkan kerugian sekitar RM 3.2 juta dan beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 32 bulan.