UHPILCL, atau Ultra High Performance Integration Liquid Cooled Laptop ialah sebuah jenama komputer yang telah memperkenalkan produk terbaru mereka di Kickstarter, iaitu sebuah rangka komputer riba dengan sistem penyejukan cecair terbina didalamnya.

Rangka komputer riba ini, yang dinamakan UHPILCL T1000 dan T1000 Super yang hadir dengan rangka yang lebih tebal, dan juga sistem penyejukan dwi-lapisan yang mampu menyejukkan komponen-komponen yang jauh lebih berkuasa, seperti sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090.

Rangka komputer riba ini hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 17.3 inci dengan resolusi 3K dan kadar segar semula 120Hz. Dari segi sokongan komponen, UHPILCL mengatakan bahawa rangka komputer riba ini boleh memuatkan papan induk komputer desktop dengan saiz ITX dan menyokong kedua-dua sistem AMD dan juga Intel.

Ia juga boleh dimuatkan dengan kad grafik yang direka khusus untuk tujuan penyejukan cecair, dan tampil dengan bekalan kuasa 980W yang cukup berkuasa untuk menampung penggunaan kuasa sebuah komputer desktop yang berkuasa.

Sistem penyejukan rangka komputer riba UHPILCL T1000 ini juga menggunakan open loop dengan radiator terbina dan pengguna akan perlu mengisi gelung tersebut dengan air ternyahion yang boleh dibeli di kedai-kedai pembina komputer.
Buat masa ini, hanya laman Kickstarter projek rangka komputer riba ini aktif buat masa ini. Dari segi pelancaran produk dan tanda harganya, ia tidak diketahui lagi, tetapi kami jangkakan bahawa ia akan diperkenalkan tidak lama lagi.