Apabila bercakap mengenai kereta elektrik (EV), isu mengenai pengecas semestinya timbul kerana ia diperlukan di lokasi-lokasi yang penting bagi membolehkan kereta elektrik yang dipandu sampai ke destinasi yang dituju. Shell Recharge yang menawarkan pengecas berprestasi tinggi (HPC) bermula di Tangkak Johor, dan beberapa lokasi lain di jajaran Lebuhraya Pantai Barat, kini telah melengkapkan sebahagian besar rangkaian pengecasan di Semenanjung Malaysia dengan siapnya kesemua lokasi pengecasan di jajaran Lebuhraya Pantai Timur.

Terkini, pengecas berprestasi tinggi Shell Recharge telah disiapkan di Kawasan Rehat Paka, untuk kedua-dua arah lebuhraya. Ini merupakan lokasi paling jauh dalam jajaran lebuhraya Pantai Timur, yang membolehkan pengguna mengecas tenaga sebelum meneruskan perjalanan sehingga Kelantan.
Pengecas DC ini mampu mengecas setinggi 180 kW, dan sekiranya dua kereta sedang dicaj, ia akan menjadi 90kW setiap satu. Kereta elektrik yang menyokong pengecasan 800v dapat mengecas dengan lebih pantas, seperti contoh Porsche Taycan ini dapat dicas 10-80% dalam masa 18 minit.

Satu lagi pengecas Shell Recharge HPC yang masih dalam pembinaan ialah di kawasan rehat Temerloh menghala Kuala Lumpur. Dan khusus buat pengguna kereta elektrik yang menggunakan Lebuhraya Pantai Timur, Shell Recharge akan memberikan rebat untuk penggunaan pengecas HPC pada musim perayaan ini bermula 24 Mac sehingga 4 April 2025.
Sekiranya pengguna mempunyai keahlian Parkeasy Platinum, rebat 100% akan diberikan dan untuk pengguna lain yang mempunyai keahlian Gold atau tidak mempunyai keahlian, akan menerima rebat 50%. Rebat ini akan diberikan sejurus selepas kempen tamat.