Carian
Cip Pemprosesan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” Diperlihatkan Dengan Lebih Dekat
March 13, 2025 Nazrin

Intel telah mengesahkan bahawa cip pemprosesan komputer riba nipis dan ringan mereka yang akan datang, Panther Lake akan dibina menggunakan proses 18A mereka sendiri dari mula ke akhir. Baru-baru ini, di acara Embedded World 2025, Intel telah sekali lagi memperlihatkan cip pemprosesan tersebut secara dekat, dan mengesahkan nama model yang akan diberikan kepadanya.

Intel Core Ultra 300 akan sekali lagi hadir dengan binaan gabungan CPU dan GPU yang baru, dengan penawaran sehingga 16 teras (berbanding dengan 8 pada Intel Core Ultra 200 Lunar Lake) yang nampaknya akan terdiri daripada empat teras P-Core, lapan teras E-Core dan empat teras LP-Core.

Siri cip pemprosesan ini juga akan tampil dengan cip pemprosesan grafik Intel Arc Celestial, ataupun Intel Xe3, dan seperti pada Intel Lunar Lake, adalah merupakan siri cip pemprosesan pertama yang akan melihat penggunaannya sebagai sebuah cip grafik terbina. Ia dilaporkan bahawa model paling berkuasa Panther Lake akan hadir dengan 12 teras Xe3 apabila ia dilancarkan kelak.

Ia juga dijangka akan hadir dengan 12 jalur PCIe 5.0 dan akan mempunyai prestasi 180 AI TOPS, menjadikannya setakat ini, cip pemprosesan kelas pengguna dengan kemampuan AI terbina yang paling tinggi. Sama seperti Intel Lunar Lake sebelum ini,

Intel mungkin akan memperkenalkan cip pemprosesan ini secara rasmi pada pertengahan tahun ini, dan komputer riba yang dikuasakannya akan tiba ke pasaran tidak lama selepas itu.

Komen