Carian
Siri Oppo A5 Pro Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula Dari RM899
March 12, 2025 Amy Maizuraa

Siri Oppo A5 Pro telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini. Ia hadir dengan dua pilihan model iaitu LTE dan 5G, yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna harian. Kedua-duanya menawarkan spesifikasi mencukupi untuk tugasan asas, beserta ciri menarik bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Oppo A5 Pro 5G hadir dengan skrin LCD bersaiz 6.67 inci beresolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz. Telefon ini dikuasakan oleh cip Mediatek Dimensity 6300 dan dilengkapi dengan 8GB RAM serta storan dalaman 256GB. Selain itu, ia menjalankan ColorOS 15 Lite berasaskan Android 15 yang menjadikannya mesra pengguna.

Bateri berkapasiti 5800mAh turut disediakan, dengan sokongan pengecasan pantas 45W. Dari segi kamera, ia menampilkan kamera utama 50MP, kamera sekunder 2MP, dan kamera swafoto sebesar 8MP. Telefon ini juga mempunyai perlindungan IP66/68/69 untuk ketahanan terhadap habuk dan air.

Oppo A5 Pro LTE juga berkongsi sebahagian besar spesifikasi yang sama. Ia hadir dengan skrin LCD bersaiz 6.67- inci dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz. Peranti ini turut menawarkan pilihan memori 8GB RAM bersama storan 256GB. Bateri berkapasiti 5800mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W juga disediakan.

Dari segi kamera, model ini dilengkapi dengan kamera utama 50MP + 2MP serta kamera swafoto 8MP. Walau bagaimanapun, perbezaan utama terletak pada cip pemprosesannya, di mana versi LTE menggunakan Snapdragon 6s Gen 1 yang dioptimumkan untuk prestasi sambungan yang lebih baik.

Oppo A5 Pro 5G dijual pada harga RM1099 manakala versi LTE pula bernilai RM899. Bagi yang berminat, peranti boleh didapati melalui pengedar sah mereka sekarang. Pembelian juga disertakan dengan beberapa hadiah menarik.

Selain itu, pembelian OPPO A5 Pro semasa kejohanan OPPO Smooth Cup di Sunway Pyramid, yang berlangsung sehingga 16 Mac layak menerima hadiah menarik Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Komen