Microsoft nampaknya telah menemui jalan penyelesaian paling unik untuk mengedarkan iklan pengiklan mereka kepada pengguna Copilot. Berbeza dengan Google yang memaparkan kandungan berbentuk iklan, iklan di dalam Copilot adalah ketika sesi perbualan bersama chatbot AI ini.
Microsoft ingin pengguna beranggapan yang iklan yang disampaikan ketika sesi perbualan ini adalah seakan berinteraksi bersama seorang promoter ketika berada di dalam kedai fizikal. Sebagai pelanggan, anda akan bertanya soalan dan promoter akan menjawab untuk memberi cadangan terbaik tetapi mereka mungkin akan mencadangkan produk keluaran mereka sendiri. Sama dengan Copilot, anda menggunakan perkhidmatan chatbot AI ini untuk mendapatkan maklumat dan ia mungkin akan mencadangkan produk yang pengiklan telah bayar.

Menurut Microsoft, iklan ini akan berkaitan dengan konteks yang pengguna tanya. Copilot kemudian akan menjemput pengguna “memasuki” kedai digital yang penuh dengan produk bersesuaian dan mungkin diminati pengguna oleh pengiklan. Idea Microsoft yang lain adalah, pengiklan boleh menyediakan ejen AI mereka sendiri untuk membantu Copilot memberi maklum balas apabila pengguna bertanya mengenai produk berkaitan.
Buat masa ini ia hanyalah idea yang mereka yakin boleh dibangunkan dalam masa terdekat. Jadi, jangan terkejut apabila anda tertanya kenapa Copilot percuma digunakan sedangkan ChatGPT dan Gemini dengan ciri penaakulan lebih maju perlu dibayar untuk menggunakannya.