Akhirnya, Google telah mengedarkan ciri Google Photos yang sangat berguna untuk individu seperti saya yang kerap bertukar peranti Android. Ciri ini sudah lama ditawarkan kepada peranti iOS, kini pengguna peranti Android boleh buat asal semua sandaran di storan awan yang dilakukan mengikut peranti tertentu.

Untuk melakukan perkara ini, buka Google Photos dan tekan gambar profil pengguna. Kemudian pilih Photos settings, pilih Backup dan di bawah Back up device folders akan ada pilihan Undo backup for this device. Selepas ia ditekan semua gambar dan video anda akan kekal di dalam peranti tetapi yang di dalam awanan akan dibuang. Ini bermakna semua gambar dan video dalam album awanan, album yang dikongsi, hasil carian, Memories dan Locked Folder – hapus!
Kadangkala apabila saya menguji sesuatu peranti yang saya kurang gemar, saya tidak akan simpan hasil gambar peranti tersebut di dalam Google Photos. Memandangkan tetapan Google Photos saya sentiasa melakukan sandaran, ini membuatkan saya perlu memadam secara manual. Ciri ini akan memudahkan saya kerana selepas peranti selesai diuji, saya boleh format dan semua data termasuk hasil rakaman kamera akan hapus.
Ciri ini diedarkan secara berperingkat kepada semua pengguna Google Photos di Android.