Tony Fernandes kini mengatakan mereka dalam perbincangan untuk menjual pegangan majoriti pada Big Pay kepada sebuah bank. Capital A Berhad mempunyai pegangan sekitar 99.56% pada Big Pay. Tony Fernandes mengatakan ingin menjual pegangan majoriti, dan menyimpan sekitar 30% lagi pegangan pada Big Pay.

Big Pay sebelum ini telah diasaskan pada 2017 yang lepas, dan menawarkan kad debit prabayar yang dipautkan ke akaun dompet digital berkenaan. Ia pada awalnya dipasarkan untuk mudah digunakan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga ketika berada di luar negara. Namun, persaingan dalam arena ini boleh dikatakan agak sengit, termasuk penawaran daripada pihak seperti Wise dan juga Touch n Go eWallet. Malah, sejak kebelakangan ini, tiada begitu banyak kemaskini mahupun pemasaran untuk Big Pay dilakukan.
Tony Fernandes mengatakan Big Pay merupakan sebuah produk yang baik, tetapi mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi untuknya. Setakat 2024 yang lepas, Big Pay mempunyai sekitar 1.6 juta pemegang kad dibawah mereka.
Buat masa ini, ia tidak diketahui bank manakah yang dalam perbincangan bersama Big Pay. Selain bank, beberapa pihak lain dikatakan turut berminat mendapatkannya, termasuk syarikat teknologi kewangan dan juga pemain global yang lain.