Carian
Anda Kini Boleh Menjeda Google Play Protect Untuk Muat Sisi Fail APK
March 13, 2025 Fahim Zahar

Google Play Protect adalah antara sistem sekuriti terbaik untuk peranti Android. Tanpa internet dan aplikasi yang tidak dipasang dari sumber sahih pun ia masih boleh melakukan imbasan kerentanan sekuriti dan memaklumkan kepada pengguna. Namun, Android menjadi Android dan masih ingin memberi kebebasan kepada pengguna – akan datang Play Protect boleh dijeda jika pengguna ingin memasang aplikasi secara muat sisi.

Dengan menjeda perlindungan ini, proses pemasangan aplikasi secara muat sisi tidak akan diganggu dengan pelbagai amaran bahaya. Namun, Play Protect jika tidak diaktifkan semula akan aktif secara sendiri pada keesokan harinya. Sebelum ini, pengguna tidak diberi pilihan untuk menjeda Play Protect tetapi hanya boleh terus mematikannya sahaja. Ciri baharu ini pasti berguna untuk power user atau pengguna yang gemar memasang aplikasi ssecara muat sisi.

Cuma, Google turut mengingatkan pengguna yang aplikasi hasad turut mungkin boleh meminta pengguna mematikan atau menjeda Play Protect bagi tujuan manipulasi dan mencuri data. Ia adalah satu peringatan untuk sentiasa berhati-hati memuat turun APK yang sahih dan selamat.

Komen