Seorang lelaki di Australia mencipta sejarah sebagai individu pertama yang dibenarkan keluar dari hospital dengan implan jantung tiruan sepenuhnya. Perkara ini dikongsi oleh penyelidik dan doktor di Hospital St Vincent Sydney terlibat selepas lelaki itu berjaya hidup dengan implant jantung itu, selama lebih 100 hari sebelum menerima pemindahan jantung sebenar.

Jantung tiruan itu dikenali sebagai BiVACOR Total Artificial Heart (TAH), yang juga diperbuat daripada titanium dan menggunakan teknologi magnetic levitation (levitasi magnetik) bagi tujuan mengepam darah ke seluruh badan. Ia dikatakan berfungsi sebagai penyelesaian sementara sebelum lelaki berkenaan menerima pemindahan jantung sebenar pada awal Mac lalu.
Secara teknikal, jantung ini mengepam darah ke seluruh badan menggunakan motor dengan mekanisme khas bagi mengelakkan kerosakan diantara bahagian. Ini bermaksud bahagian dalaman tidak akan bergesel lantas mengurangkan kerosakan dari semasa ke semasa.
Jantung tiruan ini juga dikuasakan oleh bateri boleh dicas semula secara luaran, yang bersambung ke jantung melalui wayar di dada pesakit. Ia dikatakan mampu bertahan empat jam dan akan memberi amaran kepada pesakit apabila perlu dicas semula.

Lelaki tersebut yang juga berusia anggaran 40 tahun dikatakan mengalami kegagalan jantung teruk, dan secara sukarela menjadi penerima jantung tiruan di Australia. Kemudian menerima implan BiVacor menerusi pembedahan selama enam jam yang diketuai oleh Ketua Pegawai Teknikal BiVACOR, Dr Paul Jansz. Kejayaan ini mencatatkan rekod baharu sebagai tempoh paling lama seseorang manusia boleh hidup dengan jantung tiruan sementara menunggu menerima jantung penderma.