Beberapa hari lalu kami ada melaporkan tentang kemungkinan bahawa Microsoft akan membina konsol mudah-alih “Project Kennan” yang akan diperkenalkan dan dilancarkan pada tahun ini. Terkini, Windows Central telah memperlihatkan lebih banyak butiran mengenainya dan mengesahkan beberapa perkara.
Pertama ialah ya, ASUS akan menjadi rakan pembangun Microsoft dalam membangunkan konsol mudah-alih ini. Ia disahkan akan diperkenalkan dan dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran-pasaran terpilih. Rekaan konsol ini nampaknya akan hadir memiripi konsol ASUS ROG Ally, dengan perbezaan paling ketara dapat dilihat pada bahagian sisi pemegang dan akan mempunyai butang khusus “Xbox” seperti pada alat kawalan Xbox itu sendiri.

Jika anda sedang menunggu untuk Microsoft untuk membina sebuah konsol mudah-alih dengan sistem operasi khusus Xbox, anda mungkin akan perlu menunggu sedikit lama kerana konsol mudah-alih yang dibina ini akan tampil dengan sistem operasi Microsoft Windows 11.
Apabila dilancarkan kelak, ia dijangka akan hadir dengan antaramuka bertemakan Xbox Store, dan hadir dengan UI yang lebih selesa digunakan pada paparan yang lebih kecil, yang mana ia adalah sesuatu yang sangat diminta oleh para pemilik konsol-konsol PC mudah-alih yang lain.
Kerjasama diantara jenama ini juga bukanlah sesuatu yang baru. Pada awal tahun ini, Lenovo telah bekerjasama dengan Steam untuk membina Lenovo Legion Go S yang hadir secara khusus dengan sistem operasi SteamOS untuk pertama kalinya.

Sebagai sebuah “konsol PC”, ia dijangka bahawa pengguna juga masih boleh memasang perisian gedung permainan digital lain seperti Steam, Battle.net, Epic Games Store dan sebagainya selain daripada Xbox Store yang akan terpasang secara lalai.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini juga, Microsoft dijangka akan memperkenalkan konsol permainan baru menjelang 2027 kelak, dan dijangka akan memperkenalkan juga konsol mudah-alih khusus Xbox lengkap dengan sistem operasi konsol tersebut.