Carian
SKMM Sekat Lebih 80,000 Kandungan Berkaitan Akaun Palsu Sehingga Mac 2025 – Menteri
March 13, 2025 Amy Maizuraa

Sebanyak 88,381 kandungan berkaitan akaun palsu dan penyamaran yang disekat oleh Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hingga awal Mac 2025, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Langkah itu sebahagian usaha berterusan SKMM dalam menyediakan ekosistem internet yang selamat kepada pelbagai latar belakang dan lapisan pengguna. Selain itu SKMM juga terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan internet bagi mewujudkan ruang siber yang patuh terhadap undang-undang negara.

Dalam tempoh yang sama, lebih 10,000 akaun palsu dan 130 kandungan berunsur fitnah di media sosial diturunkan menerusi kerjasama penyedia perkhidmatan dengan SKMM. Tambahnya lagi, empat laman sesawang berunsur hasutan dan satu laman sesawang berunsur fitnah turut dikenakan tindakan sekatan.

Bagi isu berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) pula sebanyak 6,911 kandungan jelik diturunkan dengan 196 kertas siasatan dibuka. Sembilan daripada jumlah tadi telah didakwa oleh Jabatan Peguam Negara, manakala empat kes pula dikenakan tindakan mahkamah.

SKMM juga menyekat hampir 1.5 bilion panggilan meragukan, 1.2 bilion Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tidak diminta, dan menamatkan perkhidmatan bagi 118,184 talian yang menghantar SMS meragukan, termasuk talian mudah alih dan tetap dalam tempoh sama. Penurunan kandungan berunsur perjudian turut dibuat dengan jumlah 34,274 kandungan diturunkan atas permohonan MCMC.   

Komen