Kamera Samsung Galaxy S26 Dilaporkan Akan Mengembalikan Ciri Klasik Galaxy S9
Fahim Zahar
Samsung antara pengeluar telefon pintar terawal yang menawarkan sistem kamera telefon pintar dengan sensor yang mempunyai apertur boleh-ubah. Ia boleh bertukar antara F1.5 dan F2.4 untuk penggunaan kamera ketika suasana gelap serta terang. Ciri ini diberikan kepada Galaxy S9 dan Galaxy S10 tetapi dihentikan selepas Galaxy S20 dilancarkan. Pada Galaxy S26 kelak, muncul ura-ura ciri kalsik ini mungkin dikembalikan.

Menurut laporan peniris maklumat Samsung terkenal iaitu Ice Universe, ciri ini mungkin akan disertakan pada siri Samsung Galaxy S26. Cuma tidak pasti adakah ia akan ditawarkan kepada semua model atau terhad kepada Galaxy S26 Ultra sahaja. Kemudian, turut masih tidak jelas adalah sistem bukaan lensa yang akan digunakan sama ada dwi-mod seakan Galaxy S10 atau mod-pelbagai pada Xiaomi 15 Ultra. Jelas di sini, Samsung juga ingin bersaing dalam era fotografi telefon pintar selepas tahun lepas tewas dengan vivo X200 Pro dan tahun ini mungkin tewas dengan Xiaomi 15 Ultra.

Samsung Galaxy S26 Ultra dijangka akan menggunakan sensor kamera 50MP untuk zum dengan kebolehan zum optikal 3x. Bateri peranti mungkin menggunakan teknologi karbon-silikon berkapasiti 5,5000mAh. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut berkenaan siri Galaxy S26.
[sumber] Weibo – Ice Universe [/sumber]