Carian
Google Dan OpenAI Mahu Akta Hakcipta Dilemahkan Untuk Mempercepatkan Pembangunan AI
March 14, 2025 Nazrin

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini telah menekankan keperluan untuk membangunkan sebuah “AI Action Plan” untuk negara tersebut, supaya mereka kekal sebagai pembangun nombor satu teknologi AI di dunia.

OpenAI dan Google nampaknya setuju dengan pendapat ini dan telah mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai kepentingan untuk memudahkan syarikat-syarikat di negara tersebut dibenarkan untuk menggunakan kandungan dengan hakcipta untuk mempercepatkan proses pembangunan teknologi AI.

OpenAI mengatakan bahawa Amerika Syarikat mempunyai banyak syarikat pembangun AI, dan kebanyakan daripada kemajuan yang berlaku dalam industri ini adalah melalui pembelajaran yang dilakukan menggunakan kandungan dengan hakcipta, yang kini semakin sukar untuk diakses.

Ini bukanlah sesuatu uyang mengejutkan kerana mereka sendiri sebelum ini menggunakan kandungan internet tanpa meminta kebenaran pemilik, mengatakan kandungan yang terbuka di internet adalah hak sesiapa sahaja untuk menggunakannya dan tidak kira tujuannya.

Isu yang diketengahkan berkenaan penggunaan kandungan hakcipta ialah perkara ini secara lazimnya hanya benar untuk individu, tetapi bukan syarikat korporat yang mempunyai kebolehan untuk mengaut keuntungan melampau tanpa memberi balik kepada pemilik kandungan tersebut.

Google juga mengatakan bahawa kerajaan Amerika Syarikat perlu mengadaptasi polisi yang menyokong perkembangan teknologi AI terbuka secara antarabangsa. Mereka mengatakan bahawa undang-undang dan kawal-selia yang ada sekarang ini terlalu ketat, dan ini akan menyebabkan inovasi, persaingan dan kelebihan yang ada untuk membangunkan industri AI semakin lemah, khususnya apabila dibandingkan dengan negara-negara lain.

Pengecualian juga perlu diberikan kepada eksport peralatan dan komponen mesin pelayan AI kerana terdapat juga banyak rakan negara Amerika Syarikat yang terhalang oleh akses terhad kepada komponen-komponen AI terbaru.

Sekatan ekonomi dan teknologi yang dikenakan keatas China nampaknya mempunyai kesan sampingan kepada sejumlah negara lain, dan Google mengatakan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan bahawa perkara ini tidak menjejaskan pembangunan AI untuk negara-negara lain.

  • Tech Crunch 1,2
Komen