Industri gaming sekarang tidak lagi terhad kepada komputer mahupun konsol permainan. Malah, ia dilaporkan bahawa pasaran gaming untuk peranti pintar adalah jauh lebih besar berbanding kedua-dua platform tersebut apabila digabungkan.

Akan tetapi, kebanyakan permainan-permainan yang lebih popular hanya dilihat pada PC dan juga konsol, dan Google nampaknya mahu menukar perkara ini, dengan menggunakan API grafik Vulkan untuk memudahkan pemindahan kod dan grafik permainan dari PC/konsol ke peranti-peranti Android.
Pertama, Google akhirnya mengesahkan bahawa Vulkan merupakan API grafik rasmi untuk platform Android. Kelebihan API ini ialah ia merupakan API grafik 3D yang rentas platform dan tidak memerlukan kuasa pemprosesan dan memori yang tinggi. Menurut Google, Vulkan juga membolehkan pembangun untuk mengubahsuai keperluan prestasi sesebuah permainan berdasarkan peranti yang digunakan.

Google mengatakan bahawa pengumuman Vulkan sebagai API grafik rasmi untuk Android adalah penting kerana ia bermakna bahawa bergerak ke hadapan, semua peranti Android akan perlu menyokong API ini, dan ini membenarkan Google memanfaatkan ciri seperti ANGLE (Almost Native Graphics Layer Engine), yang membolehkan peranti-peranti pintar tersebut untuk menggerakkan perisian dan permainan yang menggunakan API OpenGL ES tanpa memerlukan sebarang perubahan dari pihak pembangun.
Dan inilah yang akan memudahkan lebih banyak permainan video yang dibangunkan untuk platform PC dan konsol untuk digerakkan juga pada peranti-peranti pintar moden kelak.
Secara teknikalnya, Vulkan sudahpun disokong oleh Android sejak versi 7.0, tetapi ia bukanlah suatu keperluan untuk disokong pada peranti-peranti Android yang dikeluarkan. Kini, lebih 85 peratus daripada peranti di pasaran menyokong API Vulkan, dan 45 peratus daripada permua yang dibina menggunakan enjin grafik Unity menggunakan API Vulkan.

Bermula dengan Android 16, lebih banyak peranti akan hadir dengan sokongan untuk API Vulkan, dan dengan Android 17 kelak, penggunaan ANGLE akan diperlukan untuk kebanyakan aplikasi yang diperkenalkan. Ini secara langsung akan memudahkan untuk lebih banyak permainan disokong pada sebanyak peranti yang mungkin, tidak kira premium ataupun pertengahan.
Google dijangka akan membuat pengumuman lanjut mengenai ini di acara GDC 2025 yang akan berlangsung tidak lama lagi.