Carian
Android 16 Akan Mempunyai Data Kesihatan Bateri Dan Rumusan Notifikasi Mirip iOS
March 14, 2025 Fahim Zahar

Hari ini, Google telah mengedarkan kemas kini Android 16 Beta 3 untuk pengguna Pixel yang layak. Saya dengan beraninya terus memasang pada Pixel 9 Pro XL yang saya gunakan secara harian dan satu perkara baru yang saya temui membuatkan saya teruja dan diharapkan ia akan menjadi manfaat untuk semua pada suatu hari nanti.

Seperti yang semua sedia maklum, Google sudah cuba sejak beberapa tahun lepas untuk mengintegrasikan paparan data kesihatan bateri ke dalam tetapan Android. Kini dengan Android 16, ciri ini lebih jelas diperlihatkan dan pada hemat saya iterasi kali ini adalah yang lebih mudah untuk faham.

Misalnya, pada Pixel 9 Pro XL saya ia memaparkan kadar bateri saya adalah 95%. Dalam teks ringkas yang dipaparkan, ia menyatakan yang nilai ini hanyalah anggaran untuk peratusan cas yang boleh disimpan secara fizikal. Peratusan ini akan berkurangan dari masa ke semasa. Pada masa yang sama, Google turut menambah sejumlah pautan artikel berkaitan penjagaan bateri peranti.

Tidak lupa juga yang dalam Android 16 Beta 3 ini, bahagian tetapan bateri kelihatan lebih kemas dan sedikit lebih segar. Persoalannya, adakah peratusan kesihatan bateri pada peranti Pixel boleh membantu menentukan nilai peranti terpakai di Malaysia seperti iPhone?

Seterusnya adalah, pihak Android Authority yang turut menemui ciri rumusan notifikasi mirip pada iOS 18 dengan Apple Intelligence. Berdasarkan perkongsian mereka, pengguna boleh memantau notifikasi yang masuk dan ciri AI terbina di dalam peranti akan merumuskan kandungan notifikasi. Ciri ini turut dilihat bebas oleh pengguna sama ada ingin menghidupkannya atau tidak.

Komen