Carian
Ulasan Samsung Galaxy A56 – Kecerdasan Jangka Panjang
April 3, 2025 Effi Saharudin

Siri Galaxy A dilancarkan pada tahun 2014 sebagai alternatif kepada siri Galaxy S dengan harga jualan yang lebih mampu milik. Untuk enam tahun pertama Samsung mendominasi pasaran ini tetapi semuanya berubah selepas kemasukan secara pukal peranti daripada China. Tahun ini Samsung meletakkan tumpuan kepada perisian pada Galaxy A56 dan ia mungkin tindakan yang diperlukan untuk mereka terus berdaya saing dalam pasaran yang semakin dipenuhi peranti dengan perkakasan lebih berkuasa.

Spesifikasi

Samsung Galaxy A56
Skrin6.7″ AMOLED, LTPO
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesExynos 1580 (4nm)
Cip1x Cortex-A720 2.9 GHz
3x Cortex-A720 2.6 GHz
4x Cortex-A520 1.95 GHz
GPUXclipse 540
RAM8/12 GB LPDDR4x
8GB Memori maya
Storan128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
5MP f/2.3 (Makro)
Kamera Hadapan12 MP f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin optikal
Imbasan wajah
HargaRM 1999 (8/128GB)
RM 2199 (12/256GB)

Skrin

Skrin adalah sebesar 6.7″ AMOLED dengan resolusi FHD+ serta menyokong kadar segar semula 120Hz. Sekilas pandang pasti ada yang menyangka ia skrin yang sama dengan Galaxy S25+ tetapi ini adalah tidak benar sama sekali. Saiz mungkin sama tetapi panel skrin A56 bukan dari jenis LTPO. Ia beroperasi pada kadar 60Hz dan 120Hz bergantung kepada aplikasi yang sedang digunakan. Oleh itu penggunaan kuasa adalah lebih tinggi berbanding S25+.

Skrin boleh memaparkan kandungan HDR10+ dalam beberapa aplikasi pentriman popular. Paparan warna adalah cantik dan keterangan adalah memuaskan sungguhpun di bawah mentari yang panas. Ia juga responsif mengesan sentuhan dan tatalan sentiasa nampak lancar apabila mod adaptif 120Hz diaktifkan.

Satu lagi perbezaan antara skrin A56 dan S25+ ialah bezel tidak sekata pada keempat-empat sisi. Ianya lebih tebal di bahagian atas dan bawah. Ini cara paling mudah membezakan antara kedua-dua peranti yang memang kelihatan amat mirip antara satu sama lain. Sistem haptik pula adalah memuaskan namun tidak sebagai siri Galaxy S.

Biometri

Sebuah pengimbas cap jari optikal diletakkan di bawah skrin dengan kedudukannya lebih rendah berbanding siri Galaxy S. Sebagai pengguna S25 Ultra, saya kurang menggemari lokasi pengimbas cap jari ini tetapi ini ialah kedudukan lalai pada semua peranti kelas pertengahan Android di pasaran sekarang.

Jika pengimbas cap jari tidak ingin digunakan, masih terdapat sistem imbasan wajah yang boleh digunakan. Untuk aplikasi perbankan, hanya pengimbas cap jari boleh digunakan kerana menawarkan sistem sekuriti yang lebih selamat.

Rekaan

Rekaan adalah sama sahaja dengan S25+. Sisi diratakan dengan skrin pula rata. Bingkai logam aluminium tidak mempunyai warna yang sama dengan panel belakang. Satu perbezaan ialah pada sisi kanan terdapat lekuk lebih tinggi bagi menempatkan butang kuasa dan laras audio. Kedua-dua butang ini diperbuat daripada logam dan sedap ditekan.

Talam dwi SIM nano diletakkan di bahagian bawah tanpa sokongan kad mikro SD. Belahan untuk speaker dan pengecas USB-C juga diletakkan di bawah. Tiada ada apa-apa di sisi kanan dan akhir sekali di atas terdapat lubang untuk mikrofon. Samsung sudah lama tidak memberikan bicu audio dan pemancar infra merah pada peranti keluaran mereka berbanding pengeluar dari China.

Panel belakang diperbuat daripada plastik yang mudah memerangkap kotoran. Terdapat hanya satu bonggol besar menempatkan tiga lens kamera dengan ia berwarna hitam. Saya merasakan rekaan ini lebih cantik berbanding tiga bonggol kamera yang digunakan pada S25+. S25+ mungkin lebih “hensem” di depan, tetapi A56 nampak lebih premium di bahagian belakang sedangkan ia peranti lebih mampu milik.

Tubuh A56 melepasi piawaian IP67 sahaja berbanding IP69 pada Galaxy S. Agak aneh piawaian kalis air dan debu lebih tinggi tidak ditawarkan kerana di pasaran Malaysia, Oppo dan Vivo misalnya sudah menawarkan peranti kelas pertengahan dengan sekurang-kurangnya IP68. Ini membolehkan peranti ini digunakan untuk fotografi bawah air tetapi tidak disarankan untuk tempoh masa yang lama.

Penggunaan dan Perisian

Sistem operasi One UI 7.0 digunakan dengan ia berasaskan Android 15. Ia adalah versi yang sama seperti yang digunakan pada siri Galaxy S25 cuma tanpa sokongan Galaxy AI. Ini sahaja perubahan yang saya sedari kerana dari segi rekaan UI dan pengalaman UX ianya sama sahaja. Ini bermakna tiada sokongan Now Bar atau Now Brief. Tanpa Galaxy AI, kemampuan kecerdasan buatan siri Galaxy A menggunakan nama lain Awesome Intelligence.

Awesome Intelligence terhad kepada sokongan Google Circle to Search, Object Eraser, Auto Trim, Best Face, My Filter, Edit Suggestion dan Instant Slow-Mo untuk suntingan gambar serta video. Malah ciri Auto Trim, Best Face dan Instant Slow-Mo hanya diberikan kepada Galaxy A56 sahaja. Gemini juga tidak boleh diseru menggunakan butang kuasa. Jika butang kuasa ditekan pada siri Galaxy A, ia akan hanya menyeru Bixby.

Ciri seperti transkrip panggilan telefon, alih bahasa masa nyata, Chat Assist, Now Brief, Drawing Assist, Photo Studio dan Gemini juga masih eksklusif untuk Galaxy AI sahaja pada ketika ini. Dengan kata lain sekiranya pengguna inginkan ciri-ciri AI yang lebih berkemampuan tinggi mereka perlu membeli siri Galaxy S, Z Fold, Z Flip dan Tab

Penggunaan peranti adalah amat lancar dengan cip Exynos 1580 memberikan prestasi setanding dengan cip kelas pertengahan seperti Snapdragon 7s Gen 3. Menjalankan pelbagai aplikasi adalah pantas begitu juga dengan pelbagai permua. Memori 12GB adalah agak kecil jika dibandingkan dengan peranti keluaran pengeluar lain tetapi memori maya sehingga 8GB boleh ditambah menggunakan RAM Plus.

Samsung memberikan sokongan 6 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti pada A56 dan semua siri Galaxy A tahun ini. Ia adalah sokongan peranti jangka panjang terbaik untuk peranti Android kelas pertengahan di Malaysia. Walau bagaimanapun ia masih di belakang siri Galaxy S dan Google Pixel yang disokong selama 7+7 tahun.

Penanda Aras

Cip Exynos 1580 ialah cip kelas pertengahan dengan konfigurasi teras 1x Cortex-A720 2.9 GHz, 3x Cortex-A720 2.6 GHz dan 4x Cortex-A520 1.95 GHz. Ini meletakkannya setanding dengan cip Snapdragon 7s Gen 3. Oleh itu di bawah ialah perbandingan markah penanda aras Exynos 1580 dengan beberapa lagi cip kelas pertengahan lain di pasaran.

  • Exynos 1580 (4nm)– Samsung Galaxy A56
  • Dimensity 8350 (4 nm) – Oppo Reno13 Pro
  • Dimensity 8400 Ultra (4nm) – Poco X7 Pro
  • Snapdragon 7s Gen 3 (4nm) – Nothing Phone (3a) Pro
  • Snapdragon 7+ Gen 3 (4nm) – OnePlus Nord 4

AnTuTu 3D

CipSkor
Exynos 1580891,007
Dimensity 83501,091,425
Dimensity 8400 Ultra788,110
Snapdragon 7s Gen 31,590,533
Snapdragon 7+ Gen 31,049,461

Geekbench 6

CipSatu TerasMulti Teras
Exynos 158029188917
Dimensity 835029579435
Dimensity 8400 Ultra26638959
Snapdragon 7s Gen 333598129
Snapdragon 7+ Gen 327936925

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Exynos 15801365
Dimensity 83502841
Dimensity 8400 Ultra1037
Snapdragon 7s Gen 33839
Snapdragon 7+ Gen 32713

Skor yang dicatatkan adalah sederhana dan setanding dengan Snapdragon 7s Gen 3. Seperti yang telah saya katakan beberapa perenggan di atas, operasi peranti adalah lancar dengan pelbagai aplikasi boleh dijalankan tanpa sebarang isu. Penggunaan memori UFS 3.1 membantu kelancaran sedangkan Nothing Phone (3a) Pro masih lagi menggunakan storan UFS 2.2 Majoriti permainan video yang diuji boleh dimatikan pada tetapan sederhana tinggi tanpa isu pemanasan yang serius.


Kamera

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP f/1.8 (OIS), ultra sudut lebar 12MP f/2.2 , dan makro 5MP f/2.4. Ini dipadankan dengan kamera hadapan 12MP f/2.2. Kombinasi kamera yang tidak begitu membanggakan jika dibandingkan dengan Vivo V50 dan Nothing Phone (3a) Pro tetapi bagaimana dengan prestasinya?

Prestasi kamera adalah sekadar sederhana sahaja. Imej dihasilkan nampak terang dan tajam apabila diambil menggunakan kamera sudut lebar. Sistem OIS memastikan gambar sentiasa kelihatan tajam walaupun dalam mod malam. Lensa ultra sudut lebar mengambil gambar pada kualiti lebih sederhana kerana sensor lebih kecil membuatkan imej nampak lebih lembut. Gambar mod makro pula kami rasakan sekadar gimik yang tidak boleh dibanggakan.


Audio

Terdapat speaker stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Bunyi adalah lantang dan seimbang walaupun konfigurasi salah satu speaker menembak ke sisi. Penggunaan kekisi dalam bentuk garisan memanjang memastikan audio dikeluarkan dengan lebih mudah. Rekaan speaker adalah sama dengan yang ditemukan pada siri S25 dan Z Fold6. Sistem Atmos boleh digunakan pada speaker fizikal dan juga aksesori audio yang disambung.

Bateri

Bateri 5000 mAh yang digunakan kini boleh dikategorikan sebagai sekadar sederhana kerana sudah terdapat peranti kelas pertengahan lain dengan kapasiti bateri lebih besar. Ia mampu memberikan waktu penggunaan sehingga 18 jam sehari dan SOT sehingga 8 jam. Prestasi bateri tidak sebaik S25 Ultra dengan kapasiti sama kerana skrin A56 bukan dari jenis LTPO dan cip Exynos 1580 tidak mempunyai kecekapan yang sama dengan Snapdragon 8 Elite.

Bateri dicas semula dengan pengecas 45W dalam masa sekitar 70 minit. Bukanlah waktu pengecasan yang terpantas sekarang. Pengecas tidak diberikan dengan setiap pembelian peranti.


Pesaing

Samsung Galaxy A56Nothing Phone (3a) ProVivo V50
6.7″ SAMOLED, 120Hz
HDR10+, 1900 nit
6.77″ AMOLED, 120Hz, HDR10+, 3000 nit6.77″ AMOLED, 120Hz
HDR10+, 4500 nit
Exynos 1580 (4nm)
1x Cortex-A720 2.9 GHz
3x Cortex-A720 2.6 GHz
4x Cortex-A520 1.95 GHz
Snapdragon 7s Gen 3 (4nm)
1x Cortex-A720 2.5 GHz
3x Cortex-A720 2.4 GHz
4x Cortex-A520 1.8 GHz
Snapdragon 7 Gen 3 (4nm)
1x Cortex-A715 2.63 GHz
3x Cortex-A715 2.4 GHz
4x Cortex-A510 1.8 GHz
Xclipse 540Adreno 710Adreno 720
8/12 GB LPDRR4X12 GB LPDRR4X8/12 GB RAM LPDDR4X
128/256 GB UFS 3.1256 GB UFS 2.2128/256/512 UFS 2.2
Kamera Utama
50 MP, f/1.8 (Sudut Lebar), OIS
12 MP, f/2.2 (Ultra Lebar),
5 MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
50 MP, f/1.9 (Sudut Lebar), OIS
8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar),
50 MP, f/2.6 (Telefoto), OIS
Kamera Utama
50 MP, f/1.9 (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Lebar),
Lensa Zeiss
Kamera Hadapan
12 MP f/2.2
Kamera Hadapan
50 f/2.2 MP
Kamera Hadapan
50MP f/2.0
IP67IP64IP69
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Berwayar 45W
5000 mAh
Berwayar 50W
6000 mAh
Berwayar 90W
RM 1999 (8/128GB)
RM 2199 (12/256GB)
RM 1999 (12/256GB)RM 1899 (8/128GB)
RM 1999 (12/256GB)
RM 2399 (12/512GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan setiap pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy A56 5G
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Kekuatan Samsung Galaxy A56 terletak pada rekaan yang menarik, cip dengan prestasi memuaskan dan sokongan perisian selama enam tahun yang merupakan terbaik dalam kelasnya. Diakui kemampuan kameranya tidak begitu membanggakan dan kapasiti bateri juga sekadar sederhana. Tetapi dengan harga jualan bermula RM1999, ia adalah peranti yang berbaloi dimiliki jika anda memang mencari peranti yang boleh digunakan untuk tempoh lama. Inilah peranti pilihan untuk kecerdasan masa panjang.

Pro

  • Rekaan yang sangat menarik jika dibandingkan dengan S25 biasa.
  • Mod HDR pelbagai aplikasi penstriman disokong.
  • Prestasi lancar, pantas dan memuaskan.
  • Kalis air dan debu IP67
  • Sokongan perisian 6+6 tahun.

Kontra

  • Kamera sekadar sederhana.
  • Bateri agak kecil dan pengecasan perlahan berbanding pesaing.
  • Kepala pengecas tidak diberikan.

Komen