Carian
Studio Filem Milik Pengarah Avengers: Endgame Menggunakan AI Untuk Membantu Artis Berkarya
March 17, 2025 Effi Saharudin

Pengguna kecerdasan buatan (AI) dalam industri kreatif ialah isu yang sensitif. Di Amerika Syarikat, artis sanggup mogok selama beberapa bulan bagi memastikan wajah serta suara mereka tidak dihasilkan semula menggunakan AI selepas mereka meninggal dunia. Di Malaysia pula penggunaannya oleh KRU dalam sebuah muzik video langsung tidak mendapat perhatian. Anthony dan Joe Russo ialah pengarah filem Avengers: Endgame, dan menerusi studio yang ditubuhkan mereka ingin mengubah bagaimana AI digunakan oleh golongan kreatif.

Anthony dan Joe Russo

Studio Agbo ditubuhkan pada tahun 2017 sebagai sebuah studio produksi tradisional. Tetapi dalam temuramah bersama Wall Street Journal, Russo bersaudara mendedahkan mereka sedang menguji bagaimana AI boleh digunakan untuk membantu artis. AI akan digunakan untuk mempercepatkan proses penghasilan karya yang masih memerlukan input artis dan bukannya menggantikan mereka sepenuhnya.

Tambah mereka lagi, ini ialah bagi membolehkan semua artis menghasilkan karya pada kos yang lebih rendah berbanding sedia ada. Satu kenyataan yang agak ironik memandangkan filem terkini mereka Electric State untuk Netflix dilaporkan menelan belanja lebih $300 juta.

Kesemua model dan perisian AI yang digunakan di Agbo dibangunkan sendiri tanpa bantuan luar. Apakah sebenarnya dilakukan oleh Agbo masih lagi dirahsiakan ketika ini cuma menurut Russo bersaudara akan mengubah bagaimana filem dihasilkan.

Komen