Selain daripada membuat produk peranti dan aksesori elektronik, Samsung juga cukup dikenali untuk membangunkan komponen-komponen semikonduktor mereka sendiri, yang secara lazimnya terdiri daripada komponen cip memori dan cip pemprosesan. Cip Samsung Exynos merupakan salah satu daripada contoh ini.
Sebelum ini, Samsung Foundry, syarikat pengilang cip semikonduktor dilaporkan akan mula memperkenalkan proses 1.4nm mereka secara besar-besaran pada tahun 2027. Terkini, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa mereka akan mengabaikan pelan tersebut.
Ini adalah kerana Samsung Foundry kini menghadapi kesukaran untuk meningkatkan hasil pengeluaran cip semikonduktor dengan teknologi SF3 (3nm) sedia ada, dan penutupan proses pengeluaran 5 dan 7nm mereka sebelum ini dilihat tidak begitu membantu.

Samsung kini dilihat sedang memfokuskan kepada memperbaiki mutu dan jumlah pengeluaran menggunakan proses SF2 (2nm) mereka, dan ini adalah penting kerana ia merupakan proses yang digunakan untuk mengilang cip Samsung Exynos 2600 yang akan digunakan pada siri peranti Samsung Galaxy S26 pada tahun hadapan.
Samsung juga mempunyai proses SF2A dan SF2Z yang lebih memfokuskan kepada pengeluaran komponen untuk industri automotif, akan tetapi ia nampaknya masih sukar untuk Samsung yang hanya mempunyai 8.2 peratus pegangan pengeluaran cip semikonduktor apabila dibandingkan dengan TSMC yang mempunyai 67 peratus pegangan pasaran tersebut menurut laporan Korea Economic Daily.
Samsung masih perlu mencari pelanggan baru untuk menggunakan proses pengilangan cip mereka, tetapi buat masa ini, perkara ini dilihat masih sukar khususnya kerana jumlah pengeluaran cip yang tidak begitu memberangsangkan.
Ia juga mungkin bermakna bahawa Samsung akan memberi fokus sepenuhnya kepada proses SF2 mereka sebelum kembali ke proses SF1.4 untuk pengeluaran cip-cip semikonduktor terbaru mereka, tetapi buat masa ini perkara tersebut masih belum rasmi lagi.