Nampaknya masih jauh untuk kita menyaksikan iPhone dengan rekaan skrin imersif lengkap dengan tiada takuk dan tiada lubang untuk sensor serta kamera. Ini kerana menurut Bloomberg, iPhone dengan rekaan skrin Dynamic Island paling kecil hanya akan tiba pada tahun 2026 atau 2027 – bermakna masih lama lagi untuk kita lihat rekaan nirbingkai penuh menjadi realiti.

iPhone ini dikatakan akan memuatkan sensor Face ID di bawah skrin. Ini secara tidak langsung akan mengecilkan saiz Dynamic Island. Tidak pasti jika Apple akan kekal dengan nama Dynamic Island, kerana sumber menyatakan lubang skrin nanti adalah untuk kamera swafoto – mirip kebanyakan peranti Android sekarang seperti Pixel 9 dan Samsung Galaxy S25.
Selepas iPhone 18 Pro dengan Face ID di dalam, hanya pada iPhone 19 ke atas sumber menjangkakan rekaan iPhone dengan skrin imersif menyeluruh ini akan tiba ke tangan pengguna. Sama-sama kita nantikan dan lihat kemajuan teknologi skrin iPhone.