Game Launcher adalah hab permua oleh Samsung untuk telefon dan tablet Galaxy. Ia menawarkan paparan iklan, promosi permua, perbincangan bersama komuniti, kawalan prestasi asas dan kawalan asas lain untuk memfokuskan kepada bermain permua berbanding penggunaan biasa. Terbaru. Samsung hadir dengan Game Booster+ pula.

Ia adalah pemalam atau aplikasi sistem tambahan di bawah Good Lock. Game Booster+ ini membawakan tiga ciri utama iaitu mengubah tetapan kawalan, mengawal GPU, dan menyusun permua mengikut kategori yang lebih spesifik. Kawalan GPU diberikan dua pilihan iaitu Offload the GPU in screen rotation of Vulkan games dan improve texture quality. Tetapan GPU ini akan meningkatkan kualiti paparan grafik permua dan juga tekstur. Pada masa yang sama, One UI turut akan memproses grafik dan pengguna akan dapat bermain dengan pengalaman sedikit lebih baik berbanding pada Game Launcher biasa.

Game Booster+ dilancarkan di Korea Selatan melalui gedung aplikasi Galaxy Store. Namun, penggunaan aplikasi baharu ini tidak dihadkan mengikut lokasi – bermakna pengguna yang berani dan tidak sabar boleh terus memuat turun APK dan memasangnya pada peranti Samsung Galaxy masing-masing.