Dua minggu lepas, Apple telah melancarkan iPad asas generasi baharu dengan cip A16. Ia adalah cip yang digunakan pada iPhone 14 Pro dan iPhone 15, jadi tiada sokongan Apple Intelligence bersama tablet iPadOS yang berharga bermula RM1,599 ini. Walau bagaimanapun, demi produktiviti dan cip yang sebenarnya memang berkuasa – Apple telah menambah sokongan lain yang pasti memberi manfaat kepada pengguna bidang kreatif yang ingin berjimat.

Jika anda adalah pengguna yang menyunting video dan menggunakan iPad untuk suntingan asas atau sekadar menyemak fail projek, iPad asas baharu ini kini menyokong aplikasi suntingan video Final Cut Pro. Laman App Store baru sahaja dikemaskini dengan menambah ayat yang aplikasi ini memerlukan iPad dengan iPadOS 17.6 ke atas dan cip siri-M atau cip A16 ke atas. Seperti sebelum ini, aplikasi Final Cut Pro adalah percuma untuk digunakan tetapi ada langganan untuk mengakses ciri dan fungsi lengkap.
Adakah anda akan membeli iPad berharga RM1,599 untuk menggunakan Final Cut Pro?