Carian
Ini Cara Membaiki Masalah Aplikasi YouTube Yang Memainkan Shorts Secara Tiba-Tiba
March 17, 2025 Fahim Zahar

Bukan lagi rahsia yang YouTube cuba menjadi pesaing kepada TikTok dengan Shorts mereka. Banyak perubahan Google lakukan pada YouTube untuk memastikan orang ramai berinteraksi dengan video pendek Shorts ini. Terbaru, tidak pasti sengaja atau pepijat – setiap kali aplikasi YouTube dibuka ia akan terus membawa pengguna ke Shorts dan bukannya laman utama.

Ini akan menjengkelkan untuk sesetengah orang seperti video yang terus dimainkan dengan aras suara kuat, atau video yang mungkin kandungannya tidak begitu sesuai ditonton di khalayak ramai. Cuma, masalah ini dilihat berlaku secara rawak kepada pelbagai peranti Android. Masalah ini turut benar berlaku kepada saya, cuma ketika ia berlaku saya sangkakan jari saya yang tertekan kepada ikon Shorts tetapi ternyata tidak.

Isu yang saya alami adalah lebih kurang sama dengan apa yang berlaku kepada penulis 9to5Google, iaitu Nothing Phone (3a) Pro dan Pixel 9 Pro XL saya mengalami masalah ini secara rawak. Saya sedari sejak sekitar semalam, barulah aplikasi kembali normal dengan apabila ia dilancarkan akan membawa pengguna ke skrin utama. Cara membaiki buat masa ini hanyalah dengan pergi ke tetapan, cari aplikasi YouTube dan bersihkan memori cache sebelum membuka semula aplikasi.

Komen