Carian
Qualcomm Snapdragon G3 Gen 3, G2 Gen2 dan G1 Gen 2 Dilancarkan Untuk Konsol Mudah Alih
March 18, 2025 Nazrin

Industri konsol PC dilihat akan berkembang pada tahun ini dengan penawaran lebih banyak. Terkini, ia dilihat bahawa Qualcomm juga akan bertarung dengan AMD dan Intel untuk penguasa takhta konsol PC dengan pengenalan siri cip pemprosesan Snapdragon G terbaru mereka.

Ia terdiri daripada tiga model, termasuklah Qualcomm Snapdragon G3 Gen 3, Qualcomm Snapdragon G2 Gen 2 dan Qualcomm Snapdragon G1 Gen 2. Ia dijangka bahawa cip pemprosesan ini akan digunakan untuk menguasakan sejumlah jenama konsol PC mudah-alih seperti Yaneo, OneXPlayer dan Retroid Pocket.

Qualcomm Snapdragon G3 Gen 3 hadir dengan cip pemprosesan Kryo lapan-teras yang terdiri daripada satu teras Prime, lima teras prestasi dan dua teras kecekapan. Ia juga dilengkapi dengan cip pemprosesan grafik Adreno A32 yang hadir dengan sokongan untuk teknologi Ray-tracing. Qualcomm juga mengatakan bahawa cip ini adalah hadir dengan prestasi CPU 30 peratus lebih hebat berbanding dengan Snapdragon G3x Gen 2.

Dari segi sokongan teknologi, ia hadir dengan sokongan untuk WiFi 7, Bluetooth 5.3 dan juga paparan dengan resolusi sehingga QHD dengan kadar segar semula 144Hz. Cip-cip Snapdragon G3 Gen 3 dan Snapdragon G2 Gen 2 juga menyokong teknologi Snapdragon Game Super Resolution dan Adreno Frame Motion Engine 2.0 untuk pengalaman gaming yang lebih lancar dan mendalam.

Menurut Qualcomm, cip Snapdragon G3 Gen 3 akan menguasakan tiga buah konsol PC mudah-alih, termasuklah Ayaneo Pocket S2, Ayaneo Gaming Pad dan OneXPlayer OneXSugar. Snapdragon G2 Gen 2 akan menguasakan sebuah konsol Retroid Pocket. Snapdragon G1 Gen 2 pula akan menguasakan Retroid Pocket Classic, sebuah konsol yang diinspirasikan daripada konsol Nintendo Game Boy.

Peranti-peranti yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon G ini akan diperkenalkan dan tiba di pasaran-pasaran pilih tidak lama lagi.

Komen