Beberapa bulan kebelakangan ini terdapat beberapa imej pengolokan tertiris menunjukkan siri iPhone 17 yang akan dilancarkan sekitar September depan akan mempunyai rekaan panel belakang baharu. Ini ialah kemas kini yang dinantikan kerana susunan kamera dan bonggol iPhone tidak banyak berubah sejak iPhone 11 yang dilancarkan pada tahun 2019.

Minggu ini rekaan iPhone 17, 17 Air, 17 Pro dan 17 Pro Max telah tertiris ke internet menerusi acuan kerangka yang bakal digunakan kelak oleh Sonny Dickson. iPhone 17 Pro dan 17 Pro Max menerima perubahan paling drastik dengan bonggol kamera belakang yang besar dengan palang seakan Google Pixel 9. Kamera masih disusun dalam konfigurasi tiga segi dalam bonggol empat segi yang mengambil keseluruhan bahagian belakang peranti.

iPhone 17 Air akan mempunyai bonggol paling serupa dengan Pixel 9 cuma hanya mempunyai satu kamera seperti iPhone 16e. Akhir sekali iPhone 17 akan mempunyai bonggol kamera sederhana besar menempatkan dwi-kamera. Keempat-empat model juga nampaknya akan mempunyai butang Camera Control pada sisi kanan. Ini ialah evolusi seterusnya rekaan iPhone yang setakat ini sudah menjalan i empat kitaran rekaan sejak dilancarkan pada tahun 2007.