Carian
NVIDIA RTX Pro Dengan 96GB VRAM Diperkenalkan Untuk Kegunaan Industri Profesional
March 19, 2025 Nazrin

Acara NVIDIA Graphics Technology Conference (GTC) sedang berlangsung sekarang, dan NVIDIA telah membuat beberapa pengumuman menarik berkenaan penawaran kad grafik terbaru mereka yang menggunakan cip pemprosesan Blackwell.

Untuk sektor-sektor yang memerlukan kuasa perkomputeran dan pengiraan yang berkuasa, NVIDIA telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan siri produk kad grafik NVIDIA RTX Pro yang menggunakan pilihan cip pemprosesan grafik Blackwell, sama seperti yang diperlihatkan pada siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000.

Seperti siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000, siri kad grafik NVIDIA Blackwell RTX Pro ini akan hadir dengan penawaran rekabentuk untuk pelbagai format, seperti kad grafik kelas komputer desktop, komputer riba dan juga kad grafik untuk pusat data.

Menurut NVIDIA, siri kad grafik Blackwell RTX Pro ini akan menggunakan cip-cip grafik seperti GB202, GB203 dan GB205 yang diperlihatkan pada siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090, RTX 5080 dan RTX 5070, tetapi akan mempunyai jumlah memori yang jauh lebih tinggi.

Sekiranya sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 dilihat mempunyai 24GB memori GDDR7, NVIDIA mengatakan bahawa kad-kad grafik RTX Pro baru ini, yang akan hadir dengan nama model seperti RTX Pro 6000 akan hadir dengan jumlah memori GDDR7 sehingga 96GB terbina didalamnya, dimana NVIDIA akan menggunakan rekaan binaan jenis “clamshell” dimana terdapat cip memori yang terbina di kedua-dua bahagian papan litar kad tersebut.

Ia diumumkan juga bahawa bergantung kepada konfigurasi dan rekabentuk kad grafik, jumlah memori terbina didalamnya akan hadir dengan jumlah berbeza, walaupun dilihat menggunakan nama model yang sama. Seperti misalnya, kad grafik RTX Pro 6000 akan hadir dengan 96GB memori GDDR7, tetapi untuk model komputer riba pula, ia dijangka hadir dengan 24GB memori GDDR7.

Siri kad grafik NVIDIA RTX Pro ini dilihat akan memanfaatkan sektor profesional, termasuklah penggunaan untuk pusat data, pembelajaran mesin, inferens AI, olahan grafik 3D yang lebih pantas dan cekap dan untuk pengiraan-pengiraan kompleks oleh universiti dan pusat-pusat penyelidikan.

Siri kad grafik profesional keluaran terbaru ini juga nampaknya akan hadir dengan penjenamaan baru. Seperti yang kami katakan tadi, nama NVIDIA RTX Pro akan digunakan, yang akan memperlihatkan nama-nama model seperti RTX Pro 6000, RTX Pro 5000 dan sebagainya.

Komen