Carian
Google Menyenaraikan Pelindung Skrin Diiktiraf Yang Mesra Bersama Pengimbas Cap Jari Pixel
March 19, 2025 Fahim Zahar

Sehingga hari ini ramai pengguna mengadu yang pengimbas cap jari pada telefon pintar Google Pixel sangat perlahan jika dibandingkan dengan pesaing. Terbaru, Google telah mengeluarkan senarai jenama pelindung skrin yang diiktiraf dengan lencana made for Google Pixel yang diyakini tidak akan memberi masalah imbasan cap jari.

Menurut Google, semua pelindung skrin yang disenaraikan ini bermakna pasukan mereka sendiri telah mengujinya pada setiap peranti Pixel dan disahkan berfungsi dengan baik. Tidak bermakna menggunakan pelindung skrin jenama lain menyebabkan skrin atau sensor terus rosak. Cuma, jika ada masalah Google mungkin tidak boleh membantu jika pelindung skrin yang digunakan tidak dikenali atau tidak pernah diuji.

Google menyenaraikan pelindung skrin untuk Pixel 7a, Pixel 8, Pixel 8 Pro, Pixel 8a, Pixel 9, Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL. Berikut adalah antara jenama yang disenaraikan;

  • Zagg/Mophie
  • Spigen
  • Power Support
  • BigBen
  • OtterBox
  • Panzer Glass
  • Belkin
  • Itskins
  • UAG
  • Case-Mate
  • Mous
  • Caseology
  • Cesium

Untuk SKU yang lebih spesifik, laman Google Support ada menyediakan jadual untuk rujukan semua. Google berkongsi yang setiap kali pelindung skrin ditukar, setiap jari perlu diimbas semula. Begitu juga dengan imbasan wajah. Berdasarkan pengalaman saya, adalah lebih baik menggunakan pelindung skrin yang telah diiktiraf jika peranti menggunakan sensor optikal kerana itu adalah sensor yang kerap bermasalah. Untuk Pixel 9 yang menggunakan sensor ultrasonik, asalkan pelindung skrin adalah jenis berkualiti ia tidak akan mendatangkan masalah serius.

Komen