Carian
Redmi Melancarkan Jam Tangan Pintar Khas Untuk Kanak-Kanak
March 19, 2025 Fahim Zahar

Redmi baru-baru ini telah melancarkan jam tangan pintar khas untuk kanak-kanak. Ini adalah selepas koleksi peranti boleh pakai dan jam tangan Redmi dilihat berjaya menarik perhatian ramai dan laris dijual sebagai alternatif lebih murah berbanding jenama Xiaomi. Redmi Kid Smartwatch dilihat mungkin ingin bersaing dengan imoo iaitu jenama oleh BBK Electronics.

Redmi Kid Smartwatch dilihat sebagai seakan satu iterasi lebih baik berbanding Xiaomi Smart Kids Watch yang dijual di Malaysia pada harga sekitar RM300. Ia hadir dengan skrin 1.68-inci beresolusi 360 x 390, mempunyai kamera 5MP terbina, sokongan kad SIM untuk data mudah alih dan panggilan telefon serta penjejakan GPS, dan ciri asas jam seperti notifikasi, penggera serta pemantauan kesihatan.

Jam ini turut menyokong ciri penjejakan yang dikuasakan AI, di mana apabila lokasi kanak-kanak dijejak – ibu bapa akan menerima notifikasi yang menenangkan. Bateri boleh bertahan sehingga 3 hari, ia mempunyai perlindungan kalis air sedalam 20m, dan WeChat khas turut disediakan untuk tujuan komunikasi. Jam ini turut dimuatkan dengan ciri dan kandungan yang boleh membantu kanak-kanak belajar dan ulang kaji.

Buat masa ini Redmi Kid Smartwatch hanya dijual di China sahaja dengan harga RMB599 iaitu sekitar RM367. Tidak pasti jika Xiaomi dan Redmi akan menjual jam ini ke pasaran lebih meluas seperti Malaysia.

Komen