Samsung Galaxy Z Fold7 dan Galaxy Z Flip7 adalah dua telefon dengan skrin boleh-lipat yang akan dilancarkan pada tahun ini. Berdasarkan beberapa spesifikasi yang tertiris, Z Fold7 dan Z Flip7 mungkin sekali lagi adalah peranti yang Samsung telah selesa jadi tidak akan membawa banyak perubahan. Terbaru di China, kedua-dua peranti ini telah melepasi ujian untuk menyokong pengecasan pantas 25W.

SM-F7660 dan SM-F9660 baru-baru ini telah memasuki pangkalan data laman 3C di China. Peranti-peranti ini diuji dengan pengecas EP-TA800 yang dikatakan akan disertakan sekali dalam setiap pembelian dan ia menyokong kuasa pengecasan 25W. Bateri peranti pula dikatakan adalah sekitar 4,400mAh. Bagi yang tidak tahu, EP-TA800 adalah pengecas USB-PD yang dilancarkan ketika zaman Galaxy S10.
Menurut sumber, walaupun Galaxy Z Fold7 dan Flip7 diuji dengan pengecas 25W tidak bermakna ia akan terhad dengan itu sahaja. Ia mungkin akan menyokong pengecasan lebih pantas. Cuma, tidak mengejutkan jika Samsung masih enggan memberikan sokongan pengecasan yang benar-benar pantas kerana 25W ini telah ditawarkan sejak Galaxy Z Fold2 lagi. Adakah anda masih ingin menyokong Samsung jika mereka masih kedekut spesifikasi?