Snapdragon X matang atau Snapdragon tak matang pada laptop ASUS Zenbook A14 UX3407QA ini adalah bergantung kepada penggunaan anda. Untuk saya, ia sebenarnya sudah hampir matang dan cip Snapdragon X untuk laptop Windows sudah hampir menjadi pesaing sebenar kepada Mac dengan Apple Silicon. Untuk laptop ini, ia adalah peranti sempurna jika harganya murah lagi tetapi jika masih berdegil mahu beli adakah berbaloi?
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Nama Model | ASUS Vivobook A14 (UX3407QA) Copilot+ PC |
Saiz Paparan | 14″, WUXGA (1920 x 1200) 16:10, LED, 60 600 nits HDR, Glossy |
Pemproses | Snapdragon X X126100 (30MB Cache, up to 2.97GHz, 8 cores, 8 Threads) Qualcomm Hexagon NPU 45TOPS |
Cip Grafik | Adreno X1-85 (4.6 TFLOPS) |
RAM | 32GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 1TB NVMe PCIe 4.0 SSD |
Kamera | Full HD + Windows Hello |
Audio | Smart Amp Technology Speaker stereo terbina Mikrofon terbina |
Palam I/O | 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A (>10Gbps) 2x USB 4.0 Gen 3 Type-C (>40Gbps) 1x HDMI 2.1 TMDS 1x 3.5mm Combo Audio Jack |
Sistem Operasi | Windows 11 Home |
Sambungan | Wi-Fi 6E (802.11ax) (Triple band) 2×2 Bluetooth 5.3 |
Bateri | 70WHr Pengecas 65W |
Harga | RM4,999 |
Selepas bergembira bersama Mac Mini M4, sebagai penulis berpengalaman saya harus mengalah dan memberikan sistem ini kepada pelatih di Amanz yang perlu belajar lagi untuk mengasah bakat yang beliau ada. Disebabkan itu, saya kembali ke sistem Windows dan laptop pilihan adalah Zenbook A14 UX3407QA yang merupakan laptop Snapdragon X paling asas dalam keluarga Copilot+ PC. Harga jualan RM4,999 ini adalah untuk rekaan dan bahan binaan laptop ini iaitu Ceraluminum.

Di atas kertas, Zenbook A14 ini menggunakan skrin IPS LED bersaiz 14-inci beresolusi FHD dengan nisbah paparan 16:10 yang menyokong HDR dan kecerahan 600 nits serta kadar segar semula 60Hz. Laptop ini dijana dengan cip Snapdragon X X126100 yang dipadankan dengan memori 32GB RAM dan juga storan dalaman 1TB. Speaker adalah jenis stereo, berat laptop pula adalah 899 gram, menyokong sambungan 1x USB-A dan 2x USB-A serta masih dapat mengekalkan sambungan HDMI adalah satu pujian pada laptop moden yang gila nipis dan ringan ini.

Laptop ini adalah versi adik kerana Zenbook A14 turut mempunyai model lebih berkuasa dengan cip Snapdragon X Elite. Laptop ini adalah laptop produktiviti dengan fokus kepada penggunaan AI dengan penggunaan kreatif yang asas. Laptop ini dilihat cuba menjadi Macbook Air versi Windows dengan cip Arm tersendiri cuma dijual pada harga lebih awal dan pembangun masih belum banyak sedia menawarkan perisian mereka berbanding platform X86.

Tidak lupa juga yang Zenbook A14 adalah laptop rasmi Copilot+ PC, jadi banyak ciri kecerdasan buatan generatif akan diproses dari dalam peranti seperti untuk beberapa ciri Copilot pada Paint, chatbot Copilot atau ciri AI oleh ASUS sendiri yang sedia terbina untuk tujuan produktiviti paling efisien.

PENGALAMAN PENGGUNAAN
Ketika saya menulis artikel ulasan ini, laptop ini telah menjadi peranti harian saya untuk hampir satu bulan. Ia juga adalah laptop utama saya sepanjang satu minggu saya bertugas di MWC 2025, Barcelona. Satu perkara paling saya gemari pada laptop ini adalah ketahanan bateri yang sangat tahan lama. Ia juga pertama kali saya menggunakan laptop Windows yang tidak perlu dicas pada hari kedua.

Ketahanan bateri sudah membuatkan saya rasa sangat puas hati tetapi rekaannya pula membuatkan saya inginkan semua laptop mengambil ASUS sebagai inspirasi. Laptop ini mempunyai berat hanya 899 gram, ia juga mempunyai profil rekaan yang nipis, selain turut melepasi ujian yang menjadi trend iaitu boleh-pegang dengan tiga jari.

ASUS Zenbook A14 adalah laptop yang dibina untuk bekerja, tetapi bukan kerja keras dan kerja berat. Ia lebih kepada sekadar menyiapkan kerja atau melakukan suntingan tidak kira di mana sahaja. Misalnya saya boleh menulis lebih 10 berita sehari dengan laptop ini ketika berada di luar, atau memproses dua artikel panjang. Pada masa yang sama, saya turut boleh menggunakan laptop ini jika sekadar ingin menyemak fail projek video-video yang belum diterbit. Laptop ini sangat mudah untuk dikendalikan, tidak kira di mana saya berada saya selesa menggunakannya tanpa sebarang keluhan.

Ya, Snapdragon X berkemampuan melakukan suntingan video pada Adobe Premiere Pro walaupun aplikasi ini masih berada di versi X86. Prestasinya sedikit mencabar, tetapi seperti saya katakan tadi jika sekadar melakukan semakan atau suntingan kecil laptop ini memang membantu.
Prestasi suntingan video yang lebih baik bersama laptop ini adalah dengan menggunakan CapCut. Walaupun Zenbook A14 bukan siri ProArt di mana ciri AI CapCut berjalan dari dalam peranti, ia masih mempunyai prestasi yang pantas dan dalam kiraan manual saya lakukan – ia lebih kurang sama dengan prestasi render video pada Mac Mini M4.

Apa yang saya tidak berpuas hati adalah, Zenbook A14 seakan mempunyai pengalaman prestasi lebih lancar berbanding Vivobook S 15. Mungkin Windows 11 yang lebih terkini dijalankan berbanding Vivobook pada ketika itu adalah produk fasa pertama untuk cip Arm ini. Namun begitu, untuk penggunaan lengkap sebenarnya Zenbook A14 ini lebih terhad dan lebih lemah prestasinya. Cuma Zenbook A14 dimuatkan di dalam pakej premium yang mewah lagi bergaya.

Walaupun Snapdragon X tidak mempunyai kemampuan sehebat Snapdragon X Elite, tugasan harian saya langsung tidak terjejas. Setiap hari saya masih boleh melakukan kerja sepertimana saya menggunakan laptop Windows X86. Ya, mungkin akan ada beberapa aplikasi yang tidak boleh dilakukan atau leceh untuk dijalankan – tetapi ia bukannya aplikasi yang saya gunakan secara harian. Prestasi Photoshop antara yang terpantas, kemudian StoryCube oleh ASUS sendiri mampu mengurus pustaka gambar dan video dengan efisien serta pantas.

Cuma, Windows masih Windows. Dari dulu sampai sekarang, pengalaman penggunaan saya adalah lebih kurang sama. Jika ada perubahan pun mungkin lebih kepada antaramuka yang hanya semakin lama semakin moden. Jika dibandingkan dengan macOS, sebagai pengguna Windows lebih sedekad macOS adalah satu sistem operasi yang unik. Apabila saya kembali ke Windows, perasaan hambar itu sedikit terasa. Malah menggunakan ciri Copilot pada laptop ini tidak memuaskan, sehingga Apple Intelligence yang kosong pada Mac Mini M4 rasa berguna.

Perkara yang membuatkan saya yakin untuk terus menggunakan laptop ini adalah pada rekaan dan tubuhnya. Zenbook A14 adalah sebuah peranti yang sangat cantik, seksi dan menawan. Ia juga nipis dan adi-ringan kerana tidak sampai 1 kilogram pun tetapi boleh memuatkan bateri yang bertahan hampir dua hari. Disebabkan laptop ini, tubuh saya tidak lagi sakit ketika merantau ke negara luar membawa pelbagai peranti di dalam beg galas.

Windows Hello juga adalah antara ciri dan fungsi yang saya rasakan sangat berguna pada kebanyakan laptop Windows. Untuk menggunakan Face ID pada Macbook, hanya model Pro yang disokong jika tidak anda akan tersangkut dengan Touch ID sahaja. Laptop Windows kadangkala tidak kira harga atau kategori, imbasan wajah Windows Hello dengan sensor infra merah ini pasti dapat digunakan dengan lancar.

Saya juga tidak pasti kenapa saya tidak suka melihat bezel skrin laptop Windows. Setiap kali saya lihat ia pasti akan rasa tidak sekata (memang benar), dagu tebal dan nampak tidak imersif. Saya mahu bandingkan bersama Macbook Air M4 tetapi, skrin laptop ini juga tidak mempunyai bezel yang sekata. Mungkin rekaan keseluruhan Macbook dan warna yang ditawarkan membuatkannya lebih sedap mata memandang.

Zenbook A14 seperti pada namanya, menggunakan skrin IPS LED bersaiz 14-inci. Ia mempunyai resolusi hanya FHD, menggunakan format nisbah paparan 16:10, kadar segar semula adalah 60Hz, kecerahan adalah 600 nits dan menyokong paparan HDR asas. Tiada sokongan skrin sesentuh tetapi skrin laptop ini untuk penggunaan harian saya cukup sempurna dan selesa. Tiada isu yang mengganggu tugasan saya, jadi ia adalah skrin yang baik.

Papan kekunci pula, adalah jenis chicklet tetapi jelas sekali bukan menggunakan sistem yang lama kerana ia rasa lebih sedap. Ia seakan ada kesan taktil tetapi masih lembut, kemudian pengalaman menaip dan menekan setiap kekunci juga adalah lancar serta tidak memenatkan. Saya boleh menaip artikel panjang dengan selesa pada laptop ini.

Paling saya tidak puas hati adalah dengan pad sesentuh pada Zenbook A14 ini. Kenapa sehingga hari ini, sudah tahun 2025 tiada laptop Windows dengan pad sesentuh sesedap Macbook atau Magic Trackpad? Ya, Huawei Matebook ada variasi yang menawarkannya tetapi penggunaan sempurna masih dimenangi oleh Apple. Saya amat merindui pengalaman menggunakan pad sesentuh pada peranti Mac berbanding dengan Windows.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Untuk penanda aras pada macOS, ia tidak menyokong PCMark 10 atau CrystalDiskMark. Sebaliknya saya hanya menguji dengan 3DMark Wild Life Extreme, Cinebench dan AmorphousDiskMark. Untuk Cinebench, dua ujian dilakukan iaitu untuk satu teras dan multi-teras. Hasil ujian satu teras menampakkan cip Apple M4 pada Mac Mini ini dengan skor 2,169 yang jaug meninggalkan skpor lima cip Intel Core i7.
Geekbench 6
Seperti yang dijangka, cip Snapdragon X adalah lebih lemah berbanding Snapdragon X Elite. Namun begitu, untuk penggunaan harian ia tidak akan begitu terasa jika sekadar melakukan tugasan ringan. Prestasi jelas rasa perlahan ketika tugasan berat seperti menjalankan perisian suntingan profesional, banyak pemprosesan AI dan sebagainya. Untuk Geekbench 6, ia memperlihatkan skor 2,072 pada satu teras yang tidak jauh beza dengan Vivobook S 15 tetapi ketinggalan pada multi-teras dengan 9,747.

Geekbench AI
Untuk kemampuan AI, skor Geekbench AI menyatakan Zenbook A14 adalah lebih kurang sama dengan Vivobook S 15. Jadi anda tidak perlu risau akan prestasi AI pada laptop ini kerana berdasarkan penggunaan saya ia masih boleh menjadi laptop utama setiap hari tanpa perlu lari atau tumpang kepada sistem yang lebih berkuasa.

3DMark Wild Life Extreme
Ini adalah kali pertama saya dapat menguji 3DMark Wild Life Extreme pada sebuah laptop Windows Arm dengan cip yang mempunyai GPU Oryon. Pada Vivobook S 15, ada ralat ketika ujian tetapi pada Zenbook A14 tiada dan ia memaparkan skor yang hanya 3,231 dan kemampuan bingkai per saat hanya 19.35. Benar, laptop ini tidak mampu untuk menjalankan permainan video bergrafik tinggi tetapi kalau menjalankan permua Android pun, laptop ini berkemungkinan besar akan semput.

Crystaldiskmark
Ini adalah ujian penanda aras yang untuk saya A+++. Bayangkan, Mac Mini M4 yang kecil dan berkuasa itu pun mempunyai sistem storan yang lemah tetapi tidak pada Windows? Laptop ini menggunakan SSD 1TB dengan kemampuan baca 6,999.53 MB/s dan menulis 6,074.38 MB/s. Patutlah setiap kali saya melakukan pemindahan fail dan pemasangan aplikasi seakan sekelip mata sahaja sudah selesai.

EKOSISTEM
Dengan menggunakan laptop ASUS, akan ada ekosistem mereka yang tersendiri tetapi ia tidak terhad kepada ROG Phone sahaja sebaliknya mana-mana peranti Android akan mesra dengannya. ASUS mempunyai GlideX iaitu jawapan mereka kepada Microsoft Phone Link. Ia membolehkan pengguna melakukan pemindahan fail dengan pantas, mengakses telefon terus pada laptop dan banyak lagi.

Aplikasi ScreenXpert turut masih dikekalkan, iaitu aplikasi yang bijak dalam menguruskan tenaga penggunaan untuk skrin. Ia turut boleh mengesan wajah pengguna yang melihat skrin, di mana hanya apabila mata memandang skrin sahaja paparan cerah tetapi apabila toleh ke sisi ia mula menjadi malap untuk menjimatkan lagi bateri peranti.
BATERI
Zenbook A14 menggunakan sistem pengecasan pantas USB Power Delivery 65W. Saya setakat ini hanya menggunakan pengecas GaN PD 65W yang saya miliki, atau mengecas laptop ini dengan powerbank PD yang saya sudah lama ada. Proses pengecasan juga adalah pantas dan peranti tidak akan memanas. Seperti saya katakan sebelum ini, ketahanan bateri untuk sekali pengecasan boleh mencapai sehingga dua hari.

APA ADA DALAM KOTAK
Dalam setiap pembelian Apple Mac Mini dengan cip M4, berikut adalah apa yang anda akan dapat di dalam kotak;
- 1x ASUS Zenbook A14
- 1x Set pengecas USB-C
- 1x Sarung kulit
- 1x Beg galas
- 1x Set dokumen

KESIMPULAN
Saya katakan ASUS Vivobook S 15 sebagai pesaing Macbook Air yang sebenar. Untuk Zenbook A14 ini juga sebenarnya sama, cuma ia hadir dalam tubuh dan rekaan lebih premium. Misalnya peranti lebih ringan dan nipis, tetapi dari segi prestasi ia lebih rendah berbanding Vivobook S 15. Untuk yang lebih berkuasa atau acah pesaing MacBook Pro, Zenbook A14 dengan Snapdragon X Elite yang RM1,000 lebih mahal mungkin alternatif terdekat. Untuk MacBook Air versi Windows, Zenbook A14 ini belum bersedia lagi kerana harga jualan dan prestasinya.

Cuma, jika anda memang mencari peranti Windows yang ringan dan nipis – pada masa yang sama sesuai untuk produktiviti serta tugasan ringan, ini adalah laptop untuk anda. Penggunaan AI adalahh fokus utama jika anda ingin manfaatkan ciri seperti Copilot, Paint dan lain-lain. Pada harga RM4,999 laptop Snapdragon X ini sebenarnya tidak berbaloi kerana MacBook Air M4 dijual pada harga RM4,499. Ia hanya berbaloi jika anda pentingkan rekaan, berat dan hanya untuk tugasan ringkas.
PRO DAN KELEBIHAN
- Rekaan dan binaan yang cantik, ringan serta sangat praktikal.
- Skrin yang cantik dan memadai untuk penggunaan harian.
- Bateri yang tahan sangat lama, mencapai 2 hari.
- Prestasi Snapdragon X yang hebat berada di luar jangkaan.
- Lengkap dengan port sambungan berguna.
- Memori dan storan yang besar dan memuaskan.
- Speaker yang cantik dan audio enak
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Pilihan warna yang terhad.
- Skrin bukan OLED.
- Pengecasan PD 65W yang wajib menggunakan piawaian diiktiraf.
- Snapdragon X masih tidak mesra aplikasi suntingan video profesional.
- Harga jualan yang agak tinggi untuk apa yang ia boleh lakukan.
