Carian
Huawei Pura X Dilancarkan – Telefon Boleh Katup Bernisbah Aspek 16:10
March 20, 2025 Amy Maizuraa

Huawei Pura X Dilancarkan secara rasmi di China sebentar tadi. Peranti ini hadir dengan rekaan yang lebih lebar berbanding telefon lipat biasa, lantas membolehkannya digunakan dalam posisi mendatar atau menegak dengan sebaiknya.

Huawei Pura X dilengkapi dengan skrin dalam OLED bernisbah aspek 16:10. Ia juga sebesar 6.3-inci dengan resolusi 2120 X 1320 piksel, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 4500nits dan menyokong kandungan HDR Vivid. Paparan juga didakwa mampu menyediakan ruang tontonan 30% lebih besar berbanding kebanyakan peranti bernisbah 16:10 biasa.

Skrin OLED luarnya sebesar 3.5-inci dengan resolusi 980 X 980 piksel, nisbah 1:1 dan kadar segar semula 120Hz. Bahagian yang sama juga menempatkan sistem kamera utama termasuklah sensor utama 50MP f/1.6 RYYB, sudut ultra-lebar 40MP, telefoto 8MP dan sensor warna.

Pura X menjalankan HarmonyOS 5 baharu yang turut mengintegrasikan keupayaan AI DeepSeek-R1 ke dalam ekosistem natif HarmonyOS, khususnya untuk bantu  meningkatkan kemampuan pembantu maya Xiaoyi dengan teknologi model bahasa terkini. Prestasi perisian juga dipertingkatkan sehingga 40% lebih baik berbanding versi HarmonyOS terdahulu.

Seperkara lagi yang menarik ialah kemampuan peranti mengesan penjejakan mata berasaskan AI, yang boleh bantu pengguna menukar halaman pada skrin dengan pergerakan mata semata. Bateri 4270mAh disediakan juga menyokong pengecasan pantas berwayar 66W dan nirwayar 44W. Pura X dijual di China bermula harga RMB7499 (~RM4,579) dengan varian 12/256GB.

Komen