Sepasang lagi TWS baharu Huawei FreeBuds 6 dilancarkan hari ini. Ia dilihat meneruskan rekaan seperti titisan air yang digunakan pada FreeBuds 5 sebelum ini. Ia juga menggunakan pemandu audio 11mm dengan pad sesentuh untuk kawalan muzik. Setiap putik audio juga menyokong codec LDAC untuk audio pada kadar bit tinggi serta audio spatial.

Selain itu menyokong HarmonyOS dengan ciri pintar termasuklah panggilan senyap dua hala, terjemahan secara bersemuka dengan 21 pilihan bahasa, peringatan kelantangan audio berasaskan AI dan penjejakan pintar untuk menjawab serta menamatkan panggilan. Menerusi bateri 510 mAh, fon telinga ini boleh bertahan 36 jam dengan bantuan pod pengecas. Warna yang ditawarkan ialah hitam, putih dan ungu.