Dengan Google Pixel 9, Google telah memperkenalkan beberapa ciri AI baharu khusus untuk mereka yang membeli peranti mercu baharu ini. Antaranya adalah Pixel Screenshot untuk mendapatkan konteks kandungan dari dalam imej tangkapan layar dan Call Notes untuk transkrip panggilan telefon melalui aplikasi perakam suara. Dua ciri ini disahkan tidak akan disokong pada Pixel 9a yang baru dilancarkan.

Menurut laporan Ars Technica, Google mengesahkan yang ciri yang terhad ini adalah kerana memori 8GB RAM pada Pixel 9a berbanding memori 12GB atau 16GB pada Pixel 9 yang lain. Kerana kekangan memori ini juga, Google menggunakan model bahasa raya berlainan iaitu Gemini Nano 1.0 XXS yang dibangunkan khusus untuk kandungan berasaskan teks berbanding Gemini Nano 1.0 XS yang bersifat multi-model.

Walaupun beberapa ciri Gemini pada Pixel 9a diproses dari dalam peranti, ia tidak aktif 100% untuk pengurusan memori yang lebih baik. Pemprosesan dari dalam peranti ini hanya berlaku apabila ada tugasan AI yang aktif sahaja. Apa yang mengecewakan adalah, Google tidak menyatakan perbezaan sokongan ciri AI generatif pada Pixel 9a berbanding Pixel 9 yang boleh membuatkan orang ramai keliru.
Adakah anda pentingkan ciri Pixel Screenshot dan Call Notes? Atau anda tidak akan membeli Pixel 9a kerana ingin nantikan model lain atau mahu dapatkan pesaing yang lebih baik?