Siri TECNO Camon 40 dilancarkan ketika acara Mobile World Congress 2025 di Barcelona beberapa minggu lepas. Hari ini, Camon 40 Pro iaitu model kedua terakhir dengan spesifikasi paling rendah dalam siri ini dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Peranti ini adalah Camon 40 Pro.

TECNO Camon 40 Pro adalah peranti 4G dengan cip Helio G100 Ultimate. Ia dipadankan dengan memori 8+8 GB RAM dan storan dalaman 256GB. Untuk skrin, peranti ini menggunakan panel AMOLED bersaiz 6.78-inci Gorilla Glass 7i dengan kadar segar semula 120Hz. Untuk konfigurasi kamera, TECNO menggunakan sensor utama 50MP Sony LYT-700C dengan OIS yang dioptimasikan untuk mod malam dan AI. Sensor kedua adalah 8MP sudut ultra lebar dan 50MP untuk swafoto.

Peranti kelas asas premium atau kelas pertengahan asas ini memuatkan bateri berkapasiti 5,200mAh dengan pengecasan pantas 45W. Peranti turut menggunakan rekaan premium yang tahan lasak seperti tubuh aluminium dengan panel belakang kaca dan modul kamera rekaan leher angsa. Peranti turut mempunyai perlindungan IP68/IP69.

TECNO Camon 40 Pro tidak lupa menawarkan ciri trend terkini iaitu butang fizikal tambahan One Tap Button. Ia berfungsi seakan Action Button pada iPhone 15 Pro ke atas, di mana pengguna bebas menetapkan fungsi apa butang ini boleh lakukan. Apa yang TECNO ingin tekankan adalah ciri FlashSnap, untuk mengambil gambar subjek bergerak yang cantik.
Kemudian adalah untuk menyeru Ella Voice iaitu pembantu maya AI dengan model DeepSeek-R1, ChatGPT-4o dan Gemini. Di dalam HiOS 15 pada peranti ini turut terdapat ciri AI lain seperti AI Eraser 2.0, AI Perfect Face, AI Sharpness Plus, AI Image Extender, AI Call Assistant dan AI Writing.

TECNO Camon 40 Pro sudah pun dijual di Malaysia bermula hari ini dengan dua pilihan warna iaitu Galaxy Black dan Emerald Green. Harga jualan di Malaysia adalah RM899 dengan jualan eksklusif dihadkan pada TikTok Shop rasmi TECNO.