OneNote adalah antara aplikasi mengambil nota yang cukup popular di kalangan pengguna Windows. Malah, versi terkini sangat berguna kerana turut menggabungkan Sticky Note dan telah dipakejkan di dalam Microsoft 365. Bermula 14 Oktober 2025 nanti, aplikasi OneNote versi Windows 10 akan ditamatkan.

Ya, aplikasi mengambil nota legasi di dalam Windows 10 ini tidak lagi akan disokong kerana Microsoft mahukan pengguna beralih kepada OneNote versi di dalam Microsoft 365. Versi baharu ini menyokong sandaran awanan, akses secara rentas peranti, lebih selamat dan menawarkan pengalaman penggunaan moden. Untuk meyakinkan orang ramai beralih kepada versi terkini, OneNote versi legasi ini akan beroperasi dengan prestasi semakin perlahan secara berperingkat bermula bulan Jun nanti.
Jika anda adalah pengguna setia OneNote, pastikan anda sudah melakukan sandaran nota dan beralih ke OneNote dari dalam Microsoft 365. Alang-alang, akses kepada Copilot pun boleh didapatkan berbanding sebelum ini hanya satu aplikasi nota sahaja.