Carian
Laman Pendaftaran Minat Untuk Tiga Monitor Gaming Samsung Odyssey Baharu Dibuka
March 24, 2025 Amy Maizuraa

Samsung Malaysia telah membuka laman pendaftaran minat untuk tiga monitor permainan terbaru dalam siri Odyssey 2025, termasuk Odyssey 3D, Odyssey OLED G8, dan Odyssey G9. Pembeli yang mendaftarkan minat antara 24 Mac hingga 6 April layak menikmati penjimatan sehingga RM1,300.

Tawaran ini merangkumi e-baucar eksklusif bernilai RM300 semasa pendaftaran, yang boleh ditebus sewaktu tempoh pra tempahan dari 7 hingga 20 April 2025. Selain itu, pembeli juga boleh berjimat sehingga RM1,000 untuk model tertentu semasa membuat pratempahan.

Monitor Odyssey 3D 27 inci (G90XF) baharu menawarkan pengalaman permainan berasaskan 3D tanpa memerlukan cermin mata khusus. Teknologi penjejakan mata serta kanta Proprietary Lenticular digunakan untuk memaparkan imej 3D berdefinisi tinggi yang kelihatan semula jadi, yang boleh diakses melalui aplikasi Reality Hub. Dengan teknologi ini, aksi dalam permainan terasa lebih nyata dan menarik.

Odyssey 3D juga dilengkapi dengan fungsi AI Video Conversion, yang membolehkan kandungan video ditukar kepada 3D. Setiap adegan yang serasi akan dianalisis dan ditukar untuk memastikan kesan 3D yang konsisten. Selain itu, monitor ini hadir dengan skrin beresolusi 4K, kadar segar semula 165Hz, dan masa tindak balas 0.03ms (GTG) untuk permainan yang lancar. Teknologi AMD FreeSync Premium dan NVIDIA G-SYNC Compatible turut bantu menjadikan permainan lebih menyeronokkan.

Odyssey OLED G8 ialah monitor dengan skrin 27” QD-OLED yang beresolusi 4K dan kadar segar semula 240Hz. Panelnya turut mempunyai masa tindak balas 0.03ms (GTG), sokongan AMD FreeSync Premium Pro, NVIDIA G-Sync serta melepasi piawaian VESA DisplayHDR TrueBlack 400.  Ia juga menyokong AMD FreeSync Premium Pro dan NVIDIA G-SYNC untuk prestasi permainan lebih responsif. Rekaan berasaskan logam nipis juga sesuai digunakan dalam ruangan yang kecil, manakala Core Lighting+ disertakan turut boleh disesuaikan ikut gaya masing-masing.

Sementara itu, Odyssey G9 (model G91F) pula menggunakan paparan skrin QHD yang berkadar segar semula 144Hz, lengkungan 1000R dan masa tindak balas 0.03ms (GTG). Persijilan VESA DisplayHDR 600 dan HDR10+ Gaming juga disediakan untuk paparan imej lebih jelas. Selain turut menyokong ciri Picture-by-Picture dan Picture-in-Picture untuk pengalaman multitasks lebih baik. Dalam masa sama boleh bantu pengguna mengakses permainan dengan lebih pantas melalui fungsi Auto Source Switch+.

Komen