HMD Amped Buds kini tersedia di Malaysia dengan harga RM799. Dilancarkan secara rasmi di MWC 2025, fon telinga ini hadir dengan bekas pengecas yang juga berfungsi sebagai pengecas nirwayar untuk telefon. Dengan reka bentuk ringan dan pilihan warna hitam, ia dilengkapi putik silikon yang sesuai untuk peminat fon telinga jenis in-ear.

Ia juga boleh digunakan bersama aplikasi Amped Buds yang tersedia melalui Android dan iOS untuk pengalaman lebih baik. Selain itu didatangkan dengan Bluetooth 5.4 yang juga menyediakan audio beresolusi tinggi. Setiap fon telinga juga dilengkapi dengan tiga mikrofon yang mempunyai Hybird ANC untuk panggilan yang jelas. Ciri tambahan lain termasuklah Google Fast Pair dan penarafan IP54/X4.

Bateri disediakan pula boleh bertahan 8 jam dengan sekali pengecasan, serta meningkat 95 jam dengan bantuan bekas pengecas. Ia juga dilengkapi dengan kedua-dua port untuk pengecasan berwayar dan sokongan Qi2 untuk mengecas telefon secara nirwayar. Dalam masa yang sama, ia didakwa boleh mengecas bateri sebuah iPhone 16 sehingga 20% secara magnetik, dan meningkat 24% secara berwayar.