Meta AI adalah teknologi kecerdasan buatan generatif multi-modal yang kini terbina di dalam Facebook, Instagram, WhatsApp dan Messenger. Ia juga adalah AI di dalam kaca mata pintar Ray-Ban Meta. AI ini telah disahkan akan tiba ke pasaran Malaysia namun, sehingga hari ini ia masih tidak kelihatan lagi. Akan datang, pengguna yang sudah ada akses kepada Meta AI boleh menggunakannya untuk mejana komen di Instagram pula.

Ciri ini muncul di dalam Instagram dan akan ada teks “Write with Meta AI“. Ia menyatakan Meta akan menganalisa gambar dan juga wajah untuk mengenalpasti apa yang patut. Beberapa cadangan komen akan dijana untuk pengguna pilih dan hantar atau sunting terlebih dahulu. Di ruangan komen, sebelum menulis jika sebelum ini ada teks “Comment as [nama pengguna]” – ia kini mencadangkan konteks untuk komen berkaitan dengan kandungan yang dikongsi.
Sebelum ini saya pernah menemui ciri menjana komen dengan AI di Facebook. Ketika itu ia masih di peringkat awal pembangunan, di mana ruangan komen akan mencadangkan emoji atau ayat berdasarkan konteks kandungan dikongsi untuk komen. Bila ia akan diedarkan kepada semua perkhidmatan Meta secara meluas masih tidak diketahui lagi.