Carian
Menara Prudential Mula Menggunakan Robot Untuk Pemantauan Keselamatan
March 24, 2025 Aman

Menara Prudential kini menjadi antara yang terawal menggunakan robot untuk tujuan pemantauan keselamatan. Robot berkenaan turut hadir dengan sokongan integrasi kecerdasan buatan, dalam usaha meningkatkan lagi pemantauan, dan kecekapan.

Robot serta sokongan kecerdasan buatan padanya boleh berintegrasi dengan sistem pintar pada bangunan, sekaligus membolehkan anggota keselamatan memberi lebih tumpuan dalam memastikan keselamatan orang ramai.

Robot Keselamatan (Bernama)
Robot Keselamatan (Bernama)

Robot ini dibangunkan oleh KABAM Robotics, dan dinamakan sebagai Co-Lab. Ia dilengkapi kamera berdefinisi tinggi, serta sensor lain yang membolehkan analisa dilakukan sepanjang masa, selain mengurangkan kawasan titik buta ketika pemantauan. Robot ini boleh berfungsi selama tujuh jam dengan pengecasan penuh. Dengan integrasi bersama sistem bangunan pintar, robot ini juga turut boleh bergerak merentasi pelbagai tingkat bangunan.

Penggunaan robot ini dikatakan menawarkan pemantauan pada paras mata manusia, selain turut memberikan medan penglihatan yang lebih tepat. Sokongan kecerdasan buatan turut membolehkan ia mengenal-pasti individu yang tidak dibenarkan selepas waktu pejabat, selain memantau peraturan lain – seperti pelanggaran larangan merokok, infrastruktur yang menghadapi masalah, dan lain-lain.

Pelbagai data atau amaran turut akan dimaklumkan kepada sistem serta pegawai keselamatan bertugas, untuk mengambil tindakan lanjutan. Buat masa ini, robot ini digunakan untuk tujuan dalam bangunan sahaja, dan mungkin diperluaskan sekiranya semuanya berjalan lancar.

Komen